ANGKASAMART Perlis mula beroperasi, tawar lebih 1,000 kategori produk
ANGKASAMART Perlis mula beroperasi, tawar lebih 1,000 kategori produk
KANGAR: Penduduk di negeri ini kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan harian apabila ANGKASAMART membuka cawangan pertamanya di Perlis yang mula menerima pelanggan menerusi operasi pra-pembukaan hari ini.
Presiden Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pembukaan cawangan baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha ANGKASA memperkukuh rangkaian peruncitan koperasi di seluruh negara selain menyediakan akses lebih mudah kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Menurutnya, outlet yang terletak di No. 19, Jalan Satu, Taman Pertiwi Indah, Jalan Kangar-Alor Setar itu memulakan operasi pra-pembukaan pada 2 Jun 2026 dari jam 10 pagi hingga 7 malam setiap hari.
“ANGKASAMART Perlis menawarkan lebih 1,000 kategori produk yang merangkumi pelbagai barangan asas dan keperluan harian bagi memenuhi keperluan pengguna setempat.
“Pembukaan cawangan ini juga memberi peluang kepada koperasi dan usahawan tempatan memasarkan produk mereka melalui rangkaian peruncitan yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata, ANGKASAMART dijangka memulakan operasi rasmi dalam masa terdekat dengan waktu perniagaan dari jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Katanya, kehadiran outlet berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah berupaya merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi penglibatan koperasi dan perusahaan kecil dalam rantaian bekalan produk.
“ANGKASA komited untuk terus memperluaskan rangkaian ANGKASAMART ke lebih banyak lokasi strategik bagi memastikan masyarakat mendapat akses kepada barangan berkualiti pada harga mampu milik.
“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi memperkasakan gerakan koperasi sebagai antara pemacu pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut mengajak warga Perlis khususnya di sekitar Kangar untuk mengunjungi ANGKASAMART Perlis dan menikmati pelbagai pilihan barangan keperluan harian yang ditawarkan pada harga berpatutan.-SAHIH












