ANGKASA bawa suara koperasi Malaysia ke pentas dunia
ANGKASA bawa suara koperasi Malaysia ke pentas dunia
PANAMA CITY: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperkukuh kedudukan gerakan koperasi negara di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam International Cooperative Alliance (ICA) Global Conference and General Assemblies 2026 di Panama.
Persidangan yang berlangsung di Panama Convention Centre dari 13 hingga 18 September itu menghimpunkan delegasi dari 80 negara dan membuka tirai dengan sesi pendaftaran pada 13 September lalu.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah turut menggunakan kesempatan itu untuk beramah mesra serta bertukar pandangan dengan beberapa pemimpin koperasi antarabangsa termasuk dari Kenya, India, Thailand dan Turki.
Pertemuan berkenaan membuka ruang memperluas jaringan strategik, perkongsian pengalaman serta kerjasama antara gerakan koperasi Malaysia dengan rakan antarabangsa.
Pada masa sama, Naib Presiden ANGKASA yang juga Ahli Lembaga ICA, Datuk Haji Kamarudin Ismail menghadiri pertemuan Jawatankuasa Pemilihan ICA yang diadakan bersempena persidangan itu.
Pertemuan berkenaan turut melibatkan lawatan tapak serta perbincangan mengenai persediaan dan tatacara proses pemilihan bagi memastikan pilihan raya ICA dilaksanakan secara telus, berintegriti dan teratur selaras dengan prinsip tadbir urus organisasi berkenaan.
Jawatankuasa Pemilihan ICA dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Confederation of Co-operative Housing (CCH), Blase Lambert.
Proses pemilihan dijadual berlangsung semasa Perhimpunan Agung ICA pada 15 September 2026 yang menyaksikan pemilihan 15 Ahli Lembaga bagi menganggotai barisan kepimpinan ICA.
Penglibatan ANGKASA dalam Jawatankuasa Pemilihan ICA sekali gus mencerminkan peranan aktif gerakan koperasi Malaysia dalam struktur tadbir urus, proses demokrasi dan kepimpinan koperasi di peringkat antarabangsa.
Turut hadir Naib Presiden ANGKASA, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Halim Ibrahim.
#kw ANGKASA, ICA, koperasi, Panama
