AWL Agri kekal jadikan Malaysia sumber utama minyak sawit
AWL Agri kekal jadikan Malaysia sumber utama minyak sawit
NEW DELHI: AWL Agri Business Ltd yang juga pengimport minyak sawit terbesar India akan terus menjadikan Malaysia sebagai antara sumber utama bekalan komoditi itu bagi memenuhi keperluan pasarannya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shrikant Kanhere berkata, syarikat berkenaan mengimport hampir 1.5 juta tan minyak sawit setiap tahun dengan kira-kira 70 peratus daripadanya berasal dari Malaysia.
Menurutnya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan perniagaan secara satu dengan satu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, Sabtu.
“Kami mengimport hampir 1.5 juta tan minyak sawit setahun dan sebahagian besarnya datang dari Malaysia, iaitu hampir 70 peratus daripada keseluruhan import minyak sawit kami,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan berkenaan.
Shrikant berkata, minyak sawit yang diimport syarikat itu dibawa masuk melalui beberapa pelabuhan utama di bahagian timur, barat dan selatan India termasuk Haldia, Mundra, Kandla, Kakinada dan Mangalore.
Beliau berkata, setakat ini tidak terdapat isu ketara berkaitan kualiti minyak sawit mentah (CPO) yang diimport dari Malaysia.
Katanya, India menggunakan dianggarkan antara 25 juta hingga 26 juta tan minyak makan setiap tahun dengan minyak sawit kekal menjadi antara komponen utama selain minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.
Dalam pada itu, AWL Agri turut melihat potensi memperluaskan eksport produk pengguna berjenama ke pasaran Malaysia secara berperingkat.
Syarikat itu ketika ini mengeksport beras basmati di bawah jenama Fortune serta sejumlah kecil tepung gandum ke Malaysia dan bercadang meningkatkan jumlah berkenaan dari semasa ke semasa.
Shrikant berkata, AWL Agri tidak mempunyai usaha sama di Malaysia ketika ini dan semua eksport dilakukan secara langsung.
Katanya, pertemuan bersama Anwar bukan bertujuan mendapatkan kelulusan bagi memperluaskan eksport semata-mata, sebaliknya memberi penerangan mengenai operasi syarikat serta prospek jangka panjang pasaran minyak makan India.
AWL Agri yang beribu pejabat di Ahmedabad, Gujarat adalah antara empat syarikat yang mengadakan pertemuan perniagaan secara satu dengan satu bersama Anwar pada Sabtu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw AWL Agri Business Ltd, minyak sawit, Malaysia, India, Anwar Ibrahim, Shrikant Kanhere, CPO
