Anwar beri amaran, seleweng dana agensi pembiayaan akan didakwa
Anwar beri amaran, seleweng dana agensi pembiayaan akan didakwa
KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan undang-undang tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyeleweng dana awam, khususnya membabitkan agensi pembiayaan kerajaan.
Beliau berkata, setiap peruntukan disalurkan menerusi agensi seperti TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah wang amanah bagi membantu rakyat serta golongan peniaga kecil.
Katanya, pihak bertanggungjawab menguruskan dana berkenaan perlu memastikan tata kelola dan integriti sentiasa dipelihara bagi mengelakkan ketirisan.
“Apa erti jadi pandai, jadi akauntan, jadi jurukira yang handal, tetapi kerjanya mencari jalan bagaimana nak curi wang, untung dia biar jahanam institusi.
“Sebab itu saya beri amaran, Steven Sim tahu, tiap dana baik TEKUN, Bank Rakyat mahupun Amanah Ikhtiar, jaga betul-betul. Ini wang amanah, kamu langgar, kamu ditangkap dan didakwa, ini baru boleh selamat negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 di sini.
Dalam pada itu, Anwar turut membidas sikap segelintir pihak yang mempertahankan salah laku dan penyelewengan dana berbilion ringgit atas alasan sentimen kaum atau kelompok tertentu.
Katanya, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana perbuatan salah tetap perlu ditegur tanpa mengira siapa pelakunya.
Beliau berkata, usaha kerajaan membendung ketirisan membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada sektor penting termasuk pendidikan, selain memperkukuh bantuan rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan kenaikan gaji penjawat awam.
“Kita disuruh untuk menegakkan yang baik, menolak yang mungkar, ini kita pertahankan yang mungkar, tak apa. Curilah berbilion pun Tabung Haji ke FELDA, tak apa sebab ini Melayu, jangan tegur Melayu.
“Saya ingat kita kecil-kecil pergi sekolah curi pensel, ibu bapa kita marah. Balik kampung curi buah rambutan orang lain punya pun dimarah. Itu berapa? 10 biji buah rambutan harga RM1. Ini hilang RM1 bilion tak apa, masih hidup. Ini masalah dalam pendidikan kita,” katanya.-SAHIH
#AnwarIbrahim #Integriti #Ketirisan #KUSKOP
