Pemandu Porsche Macan maut turut rempuh dua kenderaan lain dalam kemalangan di Bentong
BENTONG : Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang memandu Porsche Macan maut dalam kemalangan jalan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 55.6 Lebuh Raya Karak menghala ke Bentong dekat sini semalam.
Mangsa, Lee Cheng Yik yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Porsche Macan maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku pada jam 2.15 petang semalam.
Kereta Porsche Macan yang terlibat dalam kemalangan jalan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 55.6 Lebuh Raya Karak menghala ke Bentong dekat sini semalam.- Foto BBP Bentong
Manakala, dua orang pemandu lagi, lelaki warga emas berusia 71 tahun yang memandu Proton Waja dan juga seorang lelaki berusia 32 memandu Proton Saga FLX tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan polis mendapati kereta Porsche Macan yang dipandu oleh Lee Cheng Yik dalam perjalanan dari arah Gombak menuju ke Raub.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta lain lalu terbabas dan kemudiannya melanggar sebuah lagi kereta di sebelah lorong kiri jalan.
“Kereta mangsa kemudiannya terjunam di sebelah kiri jalan di laluan keluar sebuah stesen minyak berdekatan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, akibat kemalangan itu Lee Chen Yik disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di tempat kejadian, manakala dua orang pemandu lagi tidak mengalami kecederaan.
“Saya memohon kerjasama pengguna lain yang melihat kejadian kemalangan ini supaya tampil membantu polis untuk siasatan selanjutnya, kes ini akan disiasat di bawah Seskyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Suraya Abdul Kahar (dua dari kiri), Hamidi dan ahli Nona Penggaram menunjukkan contoh cermin mata yang diberi percuma.
BATU PAHAT – Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat mengedarkan cermin mata percuma kepada mereka yang berumur antara 40 tahun dan 90 tahun, di Pasar Tani Jalan Omar, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.
Pengerusi biro berkenaan, Hamidi Mat Tap, berkata langkah itu diambil bagi membantu dalam kalangan warga emas apabila ada antara mereka yang tidak berkemampuan membeli cermin mata bagi digunakan untuk membaca serta melaksanakan tugas seharian.
Hamidi Mat Tap bersama-sama ratusan cermin mata sumbangan dermawan yang diberi percuma kepada warga emas.
Katanya, berkebetulan pula pada Ramadan sekarang cermin mata itu amat diperlukan warga emas terbabit yang menghadapi masalah penglihatan apabila menyertai program tadarus al-Quran di surau, masjid atau bersendirian di rumah.
Jelasnya, program itu juga atas cadangan pelbagai peringkat ahli UMNO bahagian itu yang menyuarakan keprihatinan mereka terhadap warga emas yang menghadapi masalah penglihatan apabila hendak melakukan tugas harian termasuk ketika membaca al-Quran.
Apabila program ini diuar-uarkan dalam kalangan ahli UMNO, ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seorang dermawan bersetuju menyediakan cermin mata untuk diagihkan secara percuma kepada warga emas yang memerlukan.
“Seawal jam 9 pagi pada hari berkenaan ramai warga emas menyerbu gerai yang mengedarkan secara percuma cermin mata ini dan mereka diberi kesempatan untuk memilih cermin mata yang bersesuaian dengan masalah penglihatan yang dialami.
“Pelbagai ahli NGO seperti Nona Penggaram, Happy Care dan sebagainya turut turun padang untuk memberi nasihat dan membantu warga emas memilih cermin mata yang bersesuaian, “ katanya yang juga Ketua Kampung Parit Jorak Elahi.
Menurut Hamidi, program edaran percuma cermin mata itu adalah kali pertama diadakan dan mendapat sambutan luar biasa daripada warga emas sekitar daerah berkenaan yang berasa terharu dengan pihak yang prihatin dengan masalah penglihatan mereka.
Beliau berkata, bagi sesetengah warga emas itu yang bekerja sendiri dengan punca pendapatan tidak menentu memang menjadi beban kepada mereka membeli atau menempah cermin mata yang bersesuaian dengan tahap penglihatan.
“Apabila dimaklumkan ada pihak yang akan mengedarkan secara percuma cermin mata, mereka ini tidak segan untuk datang seawal pagi bagi mendapatkan cermin mata sambil membeli belah di pasar tani untuk keperluan pada Ramadan,” katanya.
Pengerusi Nona Penggaram, Suraya Abdul Kahar, berkata beliau bersama-sama ahli dan NGO lain membantu mengedarkan hampir 500 cermin mata kepada warga emas pada hari berkenaan yang rata-rata melahirkan kesukaran penglihatan apabila hendak bertadarus.
Warga emas memilih cermin mata diedarkan secara percuma oleh Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor, di Pasar Tani Jalan Omar, baru-baru ini.
Tambahnya, selain itu warga emas terbabit juga melahirkan kepayahan mereka membeli cermin mata apabila harga agak mahal dan mereka pula tidak mempunyai pendapatan tambahan kerana sebahagian besarnya bekerja kampung.
“Kami ahli NGO turut berasa gembira dan terharu dengan kesediaan dermawan menghulurkan sumbangan bagi mendapatkan cermin mata berkenaan yang turut membantu dalam kalangan warga emas wanita untuk membaca serta urusan kerja mengambil upah menjahit pakaian,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Perpisahan 50 tahun, moga Syawal tahun ini pertemuan menjadi kenyataan
JERANTUT – “Sopia (nama panggilan Batliyah Din) berharap Kak Teh pulanglah di pagi Syawal ini, Sopia rindu sangat-sangat, tapi pulanglah menjelang Syawal ini, walaupun pertemuan sekejap,”kata Batliyah Din, 62 tahun.
Adik kepada Che Putih Din, Batliyah Din, berharap bulan Ramadan dan pertemuan 1 Syawal ini menjadi kenyataan agar kakaknya, Che Putih Din (Kak Teh ) akan muncul dan agar hubungan kekeluargaan kembali bertaut setelah berpisah hampir 50 tahun lalu.
Batliyah yang kini menetap di Felda Padang Piol sejak dua tahun lalu setelah berkahwin dengan Soid Bidin (kanan)
Katanya sejak berpisah, dia tidak henti-henti berdoa lebih-lebih lagi setiap kali bulan Ramadan dan menjelang Syawal menunggu kepulangan kakaknya.
“Setiap kali berbuka puasa dan menjelang Hari raya Aidifitri, saya sering teringat akan Kak Teh dan terkenang ketika masih kecil bermain bersama lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini rasa kerinduan sangat tidak tertahan lagi dan menerbitkan air mata.
“Ketika arwah ibu dan bapa meninggal dunia pun Kak Teh tidak pulang selepas dia keluar dari rumah pada 1973, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Padang Piol, hari ini.
Kata Batliyah, Kak Teh anak ketiga daripada tujuh beradik bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, tiba-tiba keluar rumah meninggalkan keluarga, kemungkinan arwah bapa dan ibu tidak bersetuju permintaannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai sudah mempunyai isteri.
“Pada waktu itu, kami sekeluarga tinggal di Kampung Pantai Perai, Kedah selepas ayah saya, Din Mohamad bersara sebagai anggota polis di Balai Polis Penang Road, Pulau Pinang sekitar awal 70-an dan dua kali Kak Teh membawa lelaki berkenaan meminta persetujuan bapa dan ibu untuk berkahwin, tetapi permintaannya tetap ditolak.
“Ketika Kak Teh meninggalkan kami, saya baharu berusia 15 tahun, manakala dia dalam lingkungan 20-an yang kemudiannya tidak mendengar khabar berita sehingga ini,” katanya.
Batliyah yang kini menetap di Felda Padang Piol sejak dua tahun lalu setelah berkahwin dengan Soid Bidin, 69, yakin kakaknya berada di Pahang atau Pulau Pinang.
“Saya pernah mendengar perkhabaran daripada seorang ahli keluarga kami, Kak Teh bersama suami yang dinikahinya berhijrah ke Pahang mencari kerja sekitar 1974 atau 1975 dan ada yang menyatakan dia tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Namun, saya pernah beberapa kali cuba mencarinya di Balik Pulau, tetapi hampa kerana tidak berjumpa dan tidak tahu lagi di mana Kak Teh tinggal walaupun dipercayai dia berada di Pahang,” katanya.
Batliyah menambah, Kak Teh kini dianggarkan berusia 70-an merupakan seorang kakak yang cukup penyayang kerana sewaktu berusia kanak-kanak, dia (Kak Teh) kerap membeli baju baharu setiap hujung bulan ketika mendapat gaji kerja kilang, malahan banyak berbelanja untuk keluarga ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Kenangan itu, menyebabkan saya sangat merinduinya dan hiba serta berharap Kak Teh muncul di pagi Syawal ini, lupakan kisah lama kerana masing-masing sudah pun berusia lanjut dan bila-bila masa akan kembali menghadap Allah SWT.
“Kak Teh datanglah ke Felda Padang Piol menemui saya dan kita boleh mengatur pertemuan supaya dapat bertaut kembali dengan adik-beradik yang lain dan masih tinggal di Kedah dan Perlis,” katanya.
“Saya berharap orang ramai terutamanya Che Putih (Kak Teh) atau warisnya yang membaca kisah ini dapat menghubungi saya menerusi talian 014- 6389428 atau datang ke rumah bernombor 410 Felda Padang Piol, Jerantut, sekiranya Kak Teh uzur, saya sanggup pergi berjumpanya.
“Semoga Kak Teh pulanglah agar mengubati kerinduan saya dan bertaut kembali bersama keluarga kita sempena bulan yang mulia dan sambil memeriahkan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pintu rumah saya terbuka luas untuk Kak Teh, ” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ikan salai jadi buruan untuk masakan berbuka puasa
JERANTUT – Peniaga ikan salai mendapat sambutan luar biasa sejak awal bulan Ramadan terutama di hujung minggu sehingga perlu mendapatkan bekalan tambahan daripada penternak ikan sungai di sekitar Kampung Jerantut Feri berdekatan Sungai Pahang, dekat sini.
Permintaan luar biasa itu disebabkan oleh pengumuman kerajaan kepada fasa endemik yang menyebabkan ahli keluarga yang tinggal di luar daerah ini pulang untuk berbuka puasa bersama keluarga.
Peniaga ikan salai sungai, Azman Zainuddin, 52, berkata, boleh dikatakan setiap kali bulan Ramadan permintaan terhadap ikan liar Sungai Tembeling dan Sungai Pahang meningkat bukan sahaja di kalangan pelanggan tempatan malahan penggemar dari luar daerah ini.
Azman Zainuddin, 52, berkata, boleh dikatakan setiap kali bulan Ramadan permintaan terhadap ikan salai Sungai Tembeling dan Sungai Pahang meningkat.
“Sebelum serangan wabak Covid-19, permintaan memang banyak, tetapi kira-kira 2 tahun dalam fasa pandemik, berkemungkinan ahli keluarga yang tinggal di luar Pahang tidak balik ke kampung serta pendapatan orang ramai terjejas maka permintaan ikan salai turut terkesan.
“Saya masih mengekalkan harga lama kerana tidak mahu membebankan orang ramai kerana ketika ini semua orang sedang dalam fasa membina cara berbelanja dengan berhemah,” katanya.
Katanya, ketika ini dia menjual ikan tilapia dan ikan patin kira-kira 100 ekor sehari tetapi di hujung minggu dan cuti umum permintaan meningkat sehingga 500 ekor sehari.
“Semua harga ikan salai dijual mengikut saiz, ikan tilapia berharga RM6 seekor ke atas, dan patin RM12 seekor.
“Saya juga menyalai daging segar seberat 40 kilogram untuk dijual pada harga RM15 sekilogram dan turut menjadi buruan penduduk di sini,” katanya.
Katanya, dia dan isteriya, Asrah Ahmad, 49, tidak menang tangan melayan pelanggan untuk mendapatkan bekalan ikan salai di Gerai Patin dan Tilapia yang terletak di tepi jalan raya Jerantut – Maran, berdekatan Kampung Jerantut Feri dekat sini.
Asrah Ahmad, aroma asap kayu api pada daging ikan menambat selera pelanggan
Mendedahkan rahsia keenakan ikan salainya, isteri Azman, Asrah Ahmad, 49, berkata, kedua jenis ikan yang disiang dan dibelah dua kemudian dicampur kunyit, serbuk lada dan garam disalai di atas bara api kayu terpilih antara satu setengah hingga dua jam.
“Ketika menyalai, aroma asap kayu api pada daging ikan menambat selera pelanggan. Kelazimannya, bagi penduduk di daerah ini gemar memasak lemak pedas campur ikan salai sebagai hidangan berbuka puasa dan tengah hari ketika di bulan lain.
“Kami sentiasa menjaga kualiti ketika menyalai termasuk pemilihan kayu api serta teknik menyalai supaya pelanggan berpuas hati malah kerap kali datang semula berbelanja di gerai ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KELADI KEMAHANG ANTARA YANG SEDAP DIMAKAN, INI CARA ORANG PAHANG
KELADI kemahang atau nama saintifiknya colocasia esculenta merupakan sejenis tumbuhan ubi jenis keladi daripada keluarga araceae yang lazimnya tumbuh liar di kawasan agak lembap dan subur.
Tumbuhan ini banyak didapati di Pahang khususnya di laluan Benta-Jerantut iaitu di Kampung Kemahang, Benta.
Menurut cerita orang dahulu kala, nama Kampung Kemahang diperoleh kerana kewujudan keladi itu yang banyak tumbuh meliar di kawasan tersebut.
Bagi orang Pahang, jika sebut keladi kemahang, semua tahu dan tumbuhan ini begitu sinonim dengan masakan gulai masam tempoyak.
Cara mengambil dan memasak keladi kemahang ini banyak pantang larangnya antaranya :
Tidak boleh boleh bertindih bayang semasa mengambilnya.
Perdunya dicabut terus daripada tempatnya.
Cara mengambilnya juga hanya satu haluan dan tidak boleh berpatah balik.
Elakan mengambil keladi kemahang yang berbunga sebab biasanya ia gatal.
Pilih yang muda sahaja.
Keladi kemahang tidak boleh digoreng.
Punca keladi ini gatal boleh dikatakan keladi yang tumbuh bukan dikawasan yang sesuai. Amat diyakini keladi kemahang yang tumbuh di Kampung kemahang, Benta dan sebelah Ulu Cheka, Jerantut tidak gatal.
Namun punca ia gatal masih tidak diketahui hingga kini. Mungkin keladi kemahang tidak diperolehi dikawasan yang disyorkan dan teknik memasaknya juga memainkan perananya.
Petua untuk memasak keladi kemahang Untuk mengelakkan daripada rasa gatal anda boleh meletakkan satu sudu kecil minyak masak atau beberapa ulas beras. Selain itu, nak kurangkan rasa gatal, petuanya adalah batang keladi kemahang direbus (celur) sekejap sahaja. Kemudian ditos airnya atau rendam dengan air bergaram sebelum dimasak.
Cara masak keladi ini sangatlah mudah selepas dicampurkan bahan asas seperti tempoyak lada dan kunyit, kacau sesekali saja. Biarkan meruap, lalu diletakan keladi kemahang tersebut.
Masa diatas dapur jangan kerap mengacau sekadar dibalik-balikkan keladi cara pelahan. Sebab boleh tukar menjadi gatal sekali gus menjejaskan rasa masakan tersebut selain keladi tersebut boleh menjadi hancur.
Untuk rampaian gulai keladi kemahang ini agar lebih menarik dan sedap bolehlah anda meletakkan bunga kantan, terung pipit @ terung manggor , petai atau jering semai. Selamat mencuba.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tumbuhan hutan boleh dieksploitasi bagi tujuan komersial serta mampu menjana pendapatan lumayan asalkan seseorang itu sanggup meredah duri dan ranjau untuk memperolehnya. Ketinggian nilai hasil hutan itu pula terletak pada kemahiran seseorang selain bijak memanfaatkannya.
Antara hasil hutan yang tinggi nilainya ialah pokok bayas atau nama saintifiknya Oncosperma horridayang banyak ditemui di hutan Taman Negara, Kuala Tahan dan Hulu Tembeling dekat sini.
Masyarakat Melayu di pedalaman Hulu Tembeling memanfaatkan umbut pokok bayas untuk dicampurkan dalam masakan tradisional bagi menghasilkan rasa yang enak dan menyelerakan.Umbut (bahagian dalam batang atau mayang pokok bayas) merupakan sejenis bahan lembut dan sedap jika dimasak secara resipi kampung.
Seorang penduduk Kampung Pengau, Hulu Tembeling, berkata, umbut itu diperoleh daripada pokok bayas di hutan tebal Taman Negara, Kuala Tahan dan Hulu Tembeling.
Menurutnya, rupa dan saiz pokok bayas seakan-akan pokok nibong dan pokok pinang yang mempunyai batang tinggi dan keras, berduri serta sukar ditebang menggunakan pisau atau parang biasa.’
‘Saya bersama rakan mengambil masa seminggu meredah hutan mencari pokok ini kerana ia tidak tumbuh berdekatan kampung bahkan sukar pula ditemui.”
Kerja-kerja menebang pokok bayas agak sukar dan terpaksa menggunakan kapak dan beliung yang tajam untuk menetak lapisan luar batangnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengau, Tembeling.
Setelah pokok ditebang, menurut Ahmad, tugas membuang kulit keras pokok bayas dilakukan untuk mendapatkan umbutnya dengan menggunakan peralatan beliung.Jelasnya, kerja menebang pokok itu juga mengambil masa agak lama semata-mata untuk mengambil lapisan umbutnya sahaja manakala bahagian batangnya perlu dibuang.
Lapisan umbut dalam batang bayas, katanya, dipotong pendek-pendek sepanjang kira-kira satu meter untuk mudah dipikul atau diangkut ke dalam bot di Sungai Tembeling untuk dibawa pulang atau dijual.
Beliau yang menjual umbut bayas sejak 10 tahun lalu seterusnya memberitahu, setiap batang pokok tersebut boleh menghasilkan 12 meter umbut.’
‘Keratan umbut ini dijual dengan harga RM8 dan kami memperoleh antara RM80 hingga RM100 setiap kali dijual kepada pemborong di pasar tani di bandar Jerantut,” katanya.
Adakalanya, menurutnya, umbut bayas digunakan untuk masakan kenduri-kendara majlis perkahwinan atau menyambut kedatangan pelawat luar yang singgah di kampung berkenaan.
Sementara itu, rakannya,berkata, bukan mudah mencari umbut bayas kerana tumbuhan itu terdapat jauh di dalam hutan tebal dan mengambil masa lama untuk mencarinya di samping berdepan dengan ancaman tertentu.
Katanya, umbut bayas memang popular sejak zaman dahulu lagi di kalangan orang Melayu di Jerantut dan Kuala Lipis kerana ia sinonim dengan masakan lemak yang dihidangkan bersama gulai tempoyak ikan air tawar daripada Sungai Tembeling, Sungai Jelai dan Sungai Pahang.
Untuk menikmati keenakan masakan ini, umbut bayas yang siap ditebang perlu segera disiang atau dipotong seterusnya dimasak tanpa membiarkan ia terlalu lama,” katanya.
Masakan lemak umbut bayas, katanya, sesuai dihidangkan semasa jamuan kenduri-kendara, gotong-royong dan menyambut pembesar dan pelawat yang singgah di kampung yang terletak di persisiran sungai itu.
Jelasnya , sebahagian besar generasi kini tidak mengenali lagi pokok bayas.
”Ramai di kalangan golongan muda tidak tahu keenakan masakan lemak umbutnya, malah tidak mahir memasak berasaskan campuran tumbuhan itu,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas – Aktivis masyarakat di Kuantan, Pahang, Anas Nazhar (kiri) menyampaikan naskhah al-Quran yang diinfak menerusi NGO PJMM dan PJNH kepada wakil pusat tahfiz di Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN – Infak al-Quran yang dikelolakan oleh Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor mengagihkan 250 naskhah al-Quran yang diinfak pelbagai pihak untuk masjid, tahfiz, pondok ngaji serta individu di Kuantan, baru-baru ini.
Agihan infak al-Quran itu mendapat kerjasama beberapa aktivis masyarakat di Pahang yang menghantar secara berperingkat-peringkat ke lokasi terbabit seperti sekitar Kuantan, pedalaman Sungai Lembing, Pekan, Penor dan sebagainya.
Anas (tiga dari kiri) bersama-sama ahli NGO PJMM, PJNH dan guru agama pada majlis penyerahan infak al-Quran di Kuantan.
Aktivis masyarakat di Kuantan, Anas Nazhar, berkata al-Quran diagihkan kepada kelas pondok ngaji diadakan di atas wakaf atau gazebo membabitkan pelajarnya dalam kalangan remaja dan warga emas, diberi bimbangan membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan bertadabbur.
Katanya, kelas pondok ngaji itu yang terdapat sekitar Kuantan mampu menarik dalam kalangan remaja khususnya untuk mendalami ilmu mengaji al-Quran yang secara tidak langsung meningkatkan budaya membaca dan mencintai al-Quran.
“Dalam kalangan warga emas pula memberi peluang kepada mereka meningkatkan lagi kemahiran membaca al-Quran dengan menghayati serta mentadabbur yang dibimbing guru al-Quran bertauliah bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat.
“Apabila mendapat al-Quran baharu yang diinfak ini memberi semangat kepada remaja terbabit untuk lebih tekun mendalami ilmu al-Quran manakala bagi warga emas peluang mengulang kaji semula kefahaman mereka yang mungkin sudah mahir mengaji sebelum ini,” katanya yang juga sukarelawan aktif dalam program agama pada majlis ringkas penyerahan infak al-Quran NGO terbabit.
Anas berkata, infak al-Quran dikelolakan oleh dua NGO itu yang diberikan kepada individu juga suatu yang menarik kerana jarang dilakukan sebaliknya apabila diagihkan kepada penduduk sekitar Kuantan kebanyakan mereka berasa amat teruja.
Katanya, penduduk menerima infak al-Quran itu berasa bertuah kerana mereka mendapat perhatian daripada penginfak yang diamanahkan NGO terbabit dalam usaha menggalakkan orang ramai amalan serta mendalami ilmu membaca al-Quran.
Sementara itu, Guru Kelas Ngaji, Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Bedah Ahmad sudah memanfaatkan infak 20 naskhah al-Quran oleh NGO terbabit pada Februari lalu, dalam kelas tadarusnya yang adakan sepanjang Ramadan.
Hampir keseluruhan warga emas yang menyertai kelas tadarus berkenaan menggunakan naskhah al-Quran baharu yang diinfak itu bagi menggantikan al-Quran lama yang rosak digenangi banjir tiga bulan lalu. -SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail (IPGKDRI), Batu Rakit, Terengganu, telah memberi khidmat kemasyarakatan yang dipuji sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar sebagai seorang guru.
Kumpulan pelajar IPG itu seramai kira-kira 30 orang telah memilih Sekolah Kebangsaan (SK) SK Tapah sebagai lokasi program membersih sekitar bangunan sekolah itu yang dilanda banjir di sana, baru-baru ini.
Pensyarah Penasihat, Safri Aziz memberi taklimat pergerakan dalam melaksanakan program itu dan membahagikan kumpulan besar dan sasaran tugasan serta kawasan pelajar terbabit harus selesaikan.
Katanya, di samping itu semua pelajar, pensyarah serta staf pengiring menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga dan ujian itu juga akan diadakan sekali lagi sebelum pulang ke IPGKDRI pada hari akhir program sebagai mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Agihan tugasan diberikan mengikut kumpulan dengan memulakan kerja membersihkan dewan terbuka dan makmal sains sekolah berkenaan terlebih dahulu untuk dijadikan sebagai ruangan solat serta tempat memasak kerana sepanjang program berlangsung mereka akan menetap di SK Tapah sehingga selesai tugasan.
“Ini disebabkan sekolah ini dilanda banjir yang agak teruk dan situasi sekolah yang harus dibersihkan memberi cabaran dan pengalaman baharu kepada pelajar IPG ini secara tidak langsung dapat mempraktikkan tugasan sukarelawan,” katanya.
Ketua program, Muhammad Alif Danial Lukman berkata, kerja gotong royong itu mengajar mereka berkerjasama dalam menyelesaikan cabaran, dan ini bakal dihadapi ketika kami melangkah ke alam pekerjaan guru yang sebenar.
“Kami berterima kasih kepada pensyarah penasihat dan beberapa pensyarah lain yang turut memberi bimbingan dan memantau kerja kami, bagus juga ‘latihan’ lapangan ini secara amali memberi kekuatan mental dan fizikal,”katanya.
Pengarah IPGKDRI, Dr Narita Mohd Noor yang turut serta melahirkan rasa bersyukur kerana sukarelawan terbabit melaksanakan tugas dengan sempurna selain meringankan bebanan pihak pengurusan SK Tapah dalam kerja pembersihan.
“Saya berharap semua mereka dapat mempraktikkan tugasan sukarelawan daripada pengalaman pertama itu supaya dapat menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan pada masa akan datang dengan membawa imej baik IPGKDRI ini,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Pemain industri perfileman termasuk pengarah, pelakon dan penggiat seni perlu mencontohi seniman agung, Tan Seri P. Ramlee dalam penghasilan karya yang membentuk minda seperti nilai agama, adab dan budaya, intelektual serta perpaduan masyarakat di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, walaupun sudah 49 tahun meninggalkan kita, karyanya sama ada yang beliau tulis, lakonan serta pengarahannya sentiada dekat di hati kita sehingga kini.
Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (depan, dua dari kiri) sedang menyampaikan sumbangan kepada penggiat seni sempena Hari Seniman peringkat negeri di Kuantan, Pahang hari ini.
“Karyanya sarat dengan mesej dan nasihat serta diselitkan pula unsur jenaka dan kecindan, tetapi jelas menjurus kepada perpaduan kaum, kasih sayang, kehidupan, hormat-menghormati serta nilai intelektual dan futuristik.
“Nilai futuristik nampak jelas menerusi karya seperti filem Pendekar Bujang Lapok, Anakku Sazali, Ali Baba Bujang Lapok, Musang Berjanggut dan sebagainya menjadi realiti serta wujud dalam era ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita,” katanya sempena perasmian sambutan Hari Seniman 2022 Negeri Pahang di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah (RTM), di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin menambah legasi seniman P. Ramlee boleh dijadikan teladan dan mendidik peranan sebenar para seniman dan penggiat seni di negera ini yang mampu mengubah pemikiran dan membentuk sahsiah masyarakat dalam dunia yang serba mencabar hari ini.
“Seniman juga mempunyai tanggungjawab yang cukup besar kerana karya yang dihasilkan bukan hanya untuk hiburan, tetapi haruslah sarat dengan mesej dan nilai adab ketimuran yang kita pegang selama ini.
“Sepatutnya kita dapat mempelajari sesuatu dan jadikan pedoman menerusi penghasilan karya seperti filem dan elakkan daripada lahir karya yang bertentangan nilai agama Islam, budaya, perpaduan dan sebagainya,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Pahang, Sabarudin Yeop Hamza, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Pahang, Ariffin Awang, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Pahang, Faisal Md Nor, Ketua Finas Zon Timur, Mahmud Jaafar dan Pengerusi Pertubuhan Karyawan Seni Pahang, Jamaluddin Hitam.
Beliau memohon pengarah dan pelakon tidak hanya mengejar populariti atau ‘profit making’ sahaja tetapi mempunyai amanah dan tanggungjawab lebih besar, iaitu hasil kretiviti seni berlandaskan dakwah untuk agama dan keperibadian bangsa kerana di akhirat nanti Allah SWT akan menyoal kita mengenai sumbangan dan peranan menegakkan syiar Islam menerusi genre tersebut.
“Pengarah, penulis dan seniman mampu berdakwah dan mengangkat martabat bangsa dan negara menerusi filem/lakonan, nyanyian, teater, sajak, tarian, seni lukisan, arca, novel, fotografi, video dan genre lain khususnya ketika kita berdepan cabaran dunia moden.
“Oleh itu, sambutan Hari Seniman ini yang diraikan hari ini untuk memperingati tarikh kelahiran seniman agung kita, Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac (1929) setiap tahun dan pemergiannya sudah 49 tahun lalu meninggalkan kita tetapi jasanya menerusi filem dan lakonan tetap dikenang sepanjang zaman,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa peka dan cakna dengan kebajikan para seniman dan penggiat seni di negeri ini malah menyokong serta menghargai setiap hasil karya seperti buku, filem, teater dan persembahan lagu rakyat.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri menghargai penggiat lagu rakyat Pahang, Roslan Madun yang memperjuangkan genre tersebut sejak 1981 dan mulai diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima anugerah Diploma Laureate of II Degree ketika beliau menyertai The International Contest Of Folk Song Artists, Voices of Ancient Cities di Ryazan, Russia pada tahun lalu,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sukarelawan menyusun pelbagai barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kampung Sekayu dan sekitarnya yang diinfak menerusi aktivis masyarakat dan Kumpulan ZIG.
Penduduk Apartmen Taman Zapin, Inang dan Ghazal, Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor terus menabur bakti kepada penduduk yang ditimpa musibah.
Kumpulan ZIG mengambil inisiatif mengumpul dana daripada sumbangan pelbagai pihak khusus penduduk yang menetap di apartmen berkenaan bagi membantu mangsa banjir di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Ahli Jawatankuasa Kumpulan ZIG, Saharani Abdullah, berkata sebaik mendapat maklumat dan berita yang tersiar di media sosial mengenai banjir menimpa penduduk di kampung berkenaan beliau mengadakan mesyuarat dengan beberapa ahli untuk mengambil tindakan bagi menghulurkan bantuan.
Sebahagian sukarelawan di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu membungkus barangan keperluan asas yang diinfak pelbagai pihak termasuk daripada Kumpulan ZIG sebelum diagihkan kepada mangsa banjir baru-baru ini.
Menurutnya, hasil keprihatinan penduduk dan beberapa pihak yang dimaklumkan usaha itu, Kumpulan ZIG berjaya mengumpul dana untuk membeli pelbagai keperluan penting seperti dapur gas, tuala mandi, pampers, peralatan membersih rumah serta barangan makanan asas seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, teh, susu dan sebagainya dalam beberapa hari sahaja.
“Setiap barangan ini direkodkan bagi memastikan tidak berlaku perulangan atau terbeli barang yang sama jika penduduk yang dibantu masih memerlukan bantuan dan Kumpulan ZIG akan berusaha demi keikhlasan membantu mereka ditimpa musibah.
“Kebiasaannya kami akan mengesan terlebih dahulu aktivis masyarakat atau NGO di satu-satu kawasan yang boleh berkongsi maklumat mengenai keperluan penduduk serta turut membantu membuat agihan barangan yang diinfak,” katanya.
Sukarelawan Samsudin Husin (kanan) menyampaikan sumbangan dapur gas infak orang ramai kepada mangsa banjir Mazlan iaitu bekas bilal Masjid Kampung Padang Setar.
Beliau berkata, semua barangan itu akan dihantar ke rumah seorang penduduk di kampung berkenaan yang secara sukarela menjadi tempat menerima infak orang ramai sebelum diagihkan kepada mangsa banjir yang dikenal pasti.
Menurutnya, usaha membantu mereka yang ditimpa musibah itu bukanlah perkara baharu kepada Kumpulan ZIG kerana sudah lama melakukan kerja amal berkenaan termasuk meringankan bebanan keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Walaupun ahli kami sibuk dengan tugas hakiki di tempat kerja tetapi ada antara mereka yang sanggup mengambil cuti untuk turun padang bagi membantu mangsa banjir serta mengagihkan barangan keperluan ini.
Seorang mangsa banjir menerima bantuan dapur gas dan barangan makanan keperluan asas yang disampaikan sukarelawan Nor Afifi Abdul Razab (kanan).
“Kami Kumpulan ZIG sudah sepakat untuk ringan tulang seperti ahli NGO lain bagi membantu penduduk ditimpa musibah yang secara tidak langsung dapat mengimarahkan konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan pemimpin negara, “ katanya.
Sementara itu jurucakap sukarelawan yang menjadi tempat mengumpul barangan infak di kampung berkenaan memaklumkan mereka menerima pelbagai barangan makanan asas, ubat-ubatan, kain selimut, kain pelikat, pakaian terpakai, peralatan persekolahan yang dihantar oleh orang ramai termasuk aktivis masyarakat seperti Oh Fatimah, Batu Buruk, Rakiah Kuala Berang, Cikgu Nasir, Engku Haripah dan ZZ Heritage.
“Barang-barang ini kami akan bahagi sama rata mengikut keperluan mangsa banjir manakala yang keuzuran atau tiada pengangkutan untuk datang mengambilnya beberapa sukarelawan akan tolong menghantar ke rumah mereka.
“Terbaharu kami menerima infak pelbagai barang keperluan harian termasuk peralatan yang digunakan di rumah seperti penyapu disumbangkan oleh NGO Kampit Rezeki dari Perak diketuai Qolbin Salim Sulaiman yang datang sendiri menyampaikan barangan berkenaan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!