KETUA UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said bukanlah nama asing dalam arena politik negara.
Dilahirkan pada September 1965, anak jati Kuala Krau ini mempunyai perjalanan politik penuh warna-warni.
Ismail mula dipilih sebagai ahli parlimen P87-Kuala Krau dalam pilihan raya umum ke-11 dan sejak itu juga, beliau tidak pernah jemu membawa pelbagai perubahan dan pembangunan di kawasan berkenaan.
Wataknya yang serius tetapi mudah mesra menjadi aset penting dalam pembentukan dirinya dan parti UMNO dan Barisan Nasional Pahang.
Ismail pernah bersekolah di Sekolah Menengah Al-Khariah Temerloh sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Islam Klang, Selangor.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan bertugas di pelbagai agensi sebelum menyertai politik.
Kecemerlangan Ismail dan ciri kepimpinan dimiliki menjadikan beliau adalah antara individu disegani kawan dan lawan.
Selepas menceburi politik, beliau memegang pelbagai jawatan penting antaranya dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional pada tahun 2010.
Ismail seterusnya diberi kepercayaan memegang jawatan lebih penting, sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat antara tahun 2013.
Selepas itu, bintangnya dalam pentadbiran negara semakin menyinar dan dipilih sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2020.
Ismail berjaya mempertahankan kerusi P87-Kuala Krau sehingga pilihan raya umum ke-14.
Namun pada pilihan raya umum ke-15, beliau akhirnya tewas melalui pertembungan tiga penjuru ketika itu.
Ismail menyifatkan kekalahan dalam pilihan raya berkenaan disebabkan permainan persepsi dilakukan pihak pembangkang sepanjang tempoh kempen berlangsung.
“Semua calon yang bertanding tidak seharusnya menyemai politik kebencian semata-mata demi meraih undi.
“Tindakan memburukkan saingan mereka tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang calon wakil rakyat.
“Politik kebencian dan sikap usik peribadi pesaing harus diberhentikan,” katanya yang kini masih setia bersama penduduk di Kuala Krau.
Sepanjang bergelar ahli parlimen Kuala Krau dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan Persekutuan, Ismail tidak pernah melupakan kawasan diwakilinya.
Banyak perubahan dan pembangunan dibawa untuk keselesaan dan kesenangan penduduk di situ.
Beliau juga mengakui agak jarang menghebohkan kebaikan dilakukannya dan lebih suka memberi peluang kepada pengundi menilai sendiri apa dilaksanakan sebelum ini.
“Kadang-kadang segala kebaikan dilakukan akan dilupakan hanya kerana satu kesilapan kecil yang kita buat.”
Datuk Seri Ismail Mohamed Said..
“Namun, ia tidak pernah mematahkan semangat untuk saya terus berbakti kepada penduduk di sini,” jelasnya.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Amizar Exco pertama mengangkat sumpah di hadapan Sultan Pahang
KUANTAN – Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Abdulaziz, di sini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lebih istimewa, Amizar juga Exco pertama mengangkat sumpah di hadapan Sultan Pahang yang kembali bersemayam di Istana Abdulaziz pada 30 Januari lepas, setelah selesai menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Exco Pahang yang lain.
Amizar, 50, yang berasal dari FELDA Chemomoi, Bentong memenangi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober 2023, dengan majoriti 2,949 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun maut dalam insiden pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2023.
Sementara itu, menurut laporan Bernama, Al-Sultan Abdullah menerusi titah mengingatkan semua barisan Exco kerajaan negeri menggalas tugas dengan baik demi kesejahteraan rakyat Pahang.
Baginda bertitah segala tanggungjawab perlu dilaksanakan dengan ikhlas selain turun padang melihat sendiri keadaan dan situasi rakyat.
“Majukan negeri Pahang, bantu rakyat miskin, tegakkan syiar Islam, mesti rajin turun padang, membantu dan membaca… saya seorang Sultan yang ‘result oriented and people centric’ (berorientasikan hasil dan berpaksikan rakyat), segala bantuan rakyat mesti ditunaikan,” titah Al-Sultan Abdullah.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Kesulitan dihadapi bekas wartawan, Khairulmizan Yahya mendapat perhatian Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud.
Khairulmizan berdepan kesukaran mendapat dana bagi pembelian susu khas untuk anaknya, Afi Talhah yang dilahirkan secara pra matang.
Anaknya itu juga ditempatkan dalam wad kanak-kanak sejak dilahirkan kira-kira setahun lalu.
Afi Talhah hanya dibenarkan dibawa pulang ke rumah beberapa minggu lalu oleh pihak hospital.
Itu pun selepas pihak hospital mendapat jaminan bahawa Khairulmizan boleh mencari ikhtiar bagi menyediakan susu khas terbabit bagi kegunaan anaknya.
Nasib Khairulmizan mendapat perhatian Razak yang mengetahui perkara itu.
“Saya terpanggil untuk memberikan sedikit sumbangan bagi pembelian susu kepada anak rakan kita, Khairulmizan yang sedang berdepan kesukaran,” kata Razak.
Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan kepada Afi Talhah, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 163019474946 atas nama Khairulmizan Yahya.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Menjadikan Pelangai sebagai pintu gerbang (gateway) ke Pahang adalah antara impian calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, untuk meningkatkan taraf sosioeknonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata, ini kerana Pelangai mempunyai potensi yang luas, untuk dipromosikan sebagai sebuah pusat agropelancongan dan tempat hentian bagi mereka yang melalui kawasan itu, untuk ke pantai timur atau selatan tanah air.
“Sepanjang perjalanan dari Karak masuk ke Pelangai memang ada pelbagai produk… kita di sini ada durian Telemong.
“Orang kata durian dari Raub yang sedap, tetapi kalau cuba makan percayalah durian Telemong lagi power.
“Kita juga ada banyak inap desa dan ladang-ladang cantik yang ada pemandangan cantik, boleh healing… waktu pagi kawasan ini sangat sejuk, memang nyaman.
Amizar berkata, idea menjadikan Pelangai sebagai pintu gerbang ke Pahang, tercetus hasil perbincangannya dengan penyandang DUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, tidak lama sebelum nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas yang mengorbankan Johari.
“Arwah dah bagi satu pelan tindakan yang jelas… bagi dia Pelangai ini ialah pintu masuk dan keluar ke beberapa negeri.
“Jadi saya nak tambah nilai daripada itu. Pelangai Gateway merupakan impian saya.
“Kita mesti ada satu benda yang istimewa untuk bawa masuk orang datang ke Pelangai,” kata Amizar.
Beliau berkata, sekiranya idea itu dapat dilaksanakan, ia juga akan mengalakkan pembangunan infrastruktur di sini.
Amizar berkata, ‘Pelangai Gateway’ akan menjadi satu ‘jenama’ yang besar, yang juga berpotensi memberi suntikan kepada ekonomi setempat, hasil aktiviti jual beli atau penyediaan perkhidmatan oleh masyarakat tempatan.
“Ia juga boleh memberikan pulangan pelaburan kepada orang yang melabur, kerana kita ada satu daya tarikan untuk orang datang berbelanja di sini… Insya-Allah satu hari nanti, mungkin dua hingga lima tahun lagi, akan berlaku banyak perubahan di Pelangai ini,” katanya.
Pelangai mendapat jolokan ‘penghujung Pahang’ kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Negeri Sembilan di barat Pahang.
PRK yang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, menyaksikan Amizar berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Kehilangan wakil rakyat di kawasan Pelangai pada 17 Ogos lalu, bukanlah sesuatu yang dijangka oleh sesiapa.
Allahyarham Datuk Seri Johari Harun meletakkan tanda aras baharu bagi penduduk di kawasan itu.
Walaupun hanya sempat berkhidmat kira-kira lapan bulan sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai dan seterusnya dipilih sebagai Exco kerajaan negeri, Johari sudah cuba membawa pelbagai perubahan ke kawasan itu.
Bahkan, penduduk di Simpang Pelangai sendiri mengakui betapa hebatnya Allahyarham dalam menyantuni masyarakat di situ.
Seorang warga emas yang menetap di Pelangai sejak lebih 40 tahun lalu, tidak putus-putus memuji Allahyarham Johari.
“Susah dah kami nak dapat wakil rakyat macam beliau. Kami cuma mampu doakan yang terbaik untuk arwah dan segala jasa sepanjang arwah bersama kami, akan kami kenang sampai bila-bila,” katanya.
Begitu juga dengan golongan muda di situ, turut merasai kehilangan pemimpin hebat seperti Allahyarham Johari.
Walaupun Allahyarham Johari lebih dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya sebelum menceburi politik, beliau tidak pernah kekok apabila berjumpa penduduk.
“Tiada protokol, tiada sekatan dan kami bebas untuk melontarkan pandangan apabil bertemu beliau.
“Banyak idea kami kongsi bersama dan banyak yang beliau rancang untuk generasi muda di Pelangai, cuma masa tidak mengizinkan untuk beliau melaksanakan semuanya,” kata seorang anak muda yang sempat ditemui.
Mereka sepakat dan meminta kerajaan negeri membuat keputusan terbaik untuk memilih bakal calon di situ.
“Nak dapat sama macam arwah, memang payah dah, kalau dapat yang hampir sama pun dah cukup baik.
“Tapi kalau boleh, kami nak (calon) penduduk sini juga, orang tempatan, bukan orang luar,” katanya.
Kebanyakan penduduk juga memaklumkan, mereka sanggup memboikot pilihan raya kecil (PRK) Pelangai jika BN tersilap pilih calon.
Katanya, mereka lebih rela tidak keluar mengundi jika calon dikemukakan BN bukan penduduk setempat.
“Orang luar takkan faham masalah atau apa yang kami mahu. Jadi, baik kami tak perlu keluar mengundi,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR – Penduduk terjejas banjir di Johor terus meningkat kepada 9,162 orang daripada 2,760 keluarga setakat 7.00 malam ini.
Semua penduduk ditempatkan di 90 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.
Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, sembilan daerah terjejas, iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Kulai, Muar dan Tangkak.
15 sungai pula merekodkan aras bahaya melibatkan empat sungai di Segamat, tiga sungai di Tangkak, empat di Kulai serta masing-masing satu di Batu Pahat, Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rompin – Susulan kejadian jalan terputus akibat arus air banjir berhampiran jalan masuk ke Perwira Jaya dan gugusan Felda Selancar, dekat Rompin, awal pagi tadi.
Sebuah jambatan Bailey akan dibina secepat mungkin bagi kemudahan penduduk di kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan jambatan Bailey berkenaan dijangka siap dalam masa antara 48 hingga 72 jam lagi.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Nadma bagi menyediakan peruntukan dan menghubungi Paglima Tentera Darat untuk menghantar Kor Jurutera DiRaja Angkatan Tentera Darat ke tempat kejadian dan segera membina jambatan bailey (Bailey Bridge) bagi menghubungkan laluan jalan yang terputus.
“Kerja (pembinaan) ini dijangka siap dalam tempoh 48-72jam.
“Ini adalah langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan banjir di sekitar daerah Rompin, petang tadi.
Ahmad Zahid berkata, terdapat 110 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan itu tidak dapat menduduki peperiksaan mereka berikutan kejadian terputus itu.
Selain itu, terdapat laporan mengenai ambulan membawa pesakit yang perlu menjalani rawatan dialisis dan ibu mengandung terpaksa berpatah balik dan menghantar pesakit itu ke klinik kesihatan lain untuk tujuan rawatan.
“Oleh kerana (ramalan) hujan berterusan selama beberapa hari lagi, saya berharap kawasan-kawasan yang terdedah banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya lagi.
Dalam kejadian awal pagi tadi, lebih 5,000 penduduk di Felda Selancar terputus hubungan selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan itu runtuh susulan hujan lebat.
Hujan lebat turut menyebabkan laluan alternatif ke kawasan yang mempunyai kira-kira 10 tanah rancangan itu ditenggelami air dan tidak dapat dilalui semua kenderaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SERAMAI 127 penyokong pasukan bola sepak maut selepas perlawanan ‘derbi’ Jawa Timur antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, Indonesia, malam tadi.
Turut terkorban dua anggota Polis Republik Indonesia (Polri), kata Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia Daerah (Kapolda) Jawa Timur, Irjen Pol Nico Afinta dipetik dari Kompas.com.
“Ada 34 maut di stadium manakala yang lainnya meninggal dunia di rumah sakit.
“Sekitar 180 lagi penonton dan penyokong sedang dirawat di beberapa rumah sakit sekitar Jawa Timur,” katanya.
Difahamkan, rusuhan itu membabitkan penyokong kedua pasukan selepas perlawanan berakhir.
Punca kecederaan dikatakan akibat tindakan Polri melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan rusuhan itu.
Kebanyakan mangsa dipercayai maut akibat sesak nafas dan dipijak oleh perusuh ketika pihak Polri cuba mengawal keadaan kecoh di dalam stadium terbabit.
Berdasarkan laporan kronologi kejadian, sebahagian besar penyokong mula menceroboh padang selepas pasukan Arema tewas 2-3 ditangan musuh tradisi mereka, Persebaya dalam perlawanan itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tahun 1960an : Keberangkatan DYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ke Temerloh .. baginda sedang meninjau tapak untuk dibina Bangunan Majlis Bandaran Temerloh ( Kini Dewan Tun Razak )
Tahun 1960an : Jambatan akan ditarik apabila paras air Sungai Pahang telah hampir mencecah lantai jambatan.
Jambatan lama dilihat dari sudut arah Temerloh ke Maran
Feri yang membawa kenderaan berat menyeberangi Sg. Pahang
Kenderaan Tentera British sedang menyeberangi Sg. Pahang dengan menaiki feri . disebelah kiri kelihatan keadaan asal bahagian tengah jambatan yang ketika itu belum roboh dihanyutkan air bah.
Tahun 1960an : Apabila jambatan tenggelam maka semua kenderaan yang datang dari arah Maran nak ke Temerloh terpaksa menaiki feri ni.
Tahun 1960an : Bas Maran iaitu bas Syarikat Maran Transport Berhad juga terpaksa menaiki feri ini untuk sampai ke Bandar Temerloh
Tahun 1963 : Jalan Tengku Bakar .. kesibukan pada hari lawatan Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Dari Jalan Haji Ahmad Shah ke Jalan Tan Sri Yahaya suatu ketika dahulu .. dihadapan simpang terdapat satu papan iklan tayangan wayang gambar Panggung Wayang Seri Semantan. Kelihatan lorong disebelah bangunan kedai kayu yang ditengah itu masih kekal sampai kehari ini. Bangunan kayu tersebut kini adalah Kedai buat papan iklan Berserk
Masjid lama Bandar Temerloh atau Masjid lama Bandar Mentakab? Siapa diantara kita yang dapat membuat pengesahan .....
Tahun 1945 : Taman Kenangan Temerloh .. dibelakang kelihatan kawasan berbukit dimana terletaknya Istana Seri Udara
Pekan Sari Temerloh suatu ketika dahulu ... cuba anda teka dimana lokasi ini sekarang?
Jambatan Temerloh
Dalam tahun 1971, jambatan lama Temerloh yang merintangi Sungai Pahang telah musnah akibat dilanda banjir besar Temerloh.
Atas tujuan pembinaan baru, Jabatan Kerja Raya Malaysia telah membina sebuah jambatan berukuran panjang 575-m menggantikan jambatan lama. Jambatan baru dikenali dengan Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2.
Jambatan Sultan Ahmad Shah lebih tinggi dari jambatan lama, membentuk jambatan kelas pertama untuk tujuan penukaran laluan di Pahang menghubungkan Jalan Persekutuan 10. Projek jambatan baru termasuklah jalan baru menghubungkan Temerloh dan Mentakab, menyebabkan jalan lama seksyen Temerloh-Mentakab digazetkan sebagai Jalan Persekutuan 87.
The construction of the Sultan Ahmad Shah Bridge was completed in 1974.
Pekan Sari Temerloh
Setelah penempatan baru dibuka seberang Kuala Sg Semantan oleh Panglima Bagus dari Perak yang berkahwin dengan anak perempuan keturunan Tuk Suji Bilang, dari semasa kesemasa semakin ramai peniaga samada penduduk tempatan atau peniaga luar yang menggunakan Sg Pahang menjadikan tebing Sg Semantan ( Temerloh Explande ) sebagai tempat pertukaran barangan (berniaga).
Aktiviti ini dipercayai bermula sekitar awal tahun 1800an dengan ketibaan orang Kampar yang terkenal sebagai peniaga yang gigih. Kemajuan pusat perniagaan ini sebagai pusat perniagaan termaju di pendalaman semenanjung sehingga matawang sendiri dinamakan nukud semantan telah digunakan dan dikuatkuasakan.
Begitulah sejarah awal pekan sehari temerloh yang kini dipercayai telah berusia lebih 250 tahun.- SAHIH
Rujukan : KELAB TEMERLOH KOI, portal Negeri pahang .
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AL-FATIHAH. PENGARAH MAMAT KHALID KEMBALI KE RAHMATULLAH
Pengarah yang sinonim dengan Kampung Pisang iaitu Mamat Khalid, 58, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, kira-kira pukul 12.30 tengah malam ini.
“Hari ini, Sarang Art Hub ada persembahan dari kumpulan Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 3 Orang Asli. Arwah suka melayan tetamu, jadi ikut serta membuat persembahan dengan bermain keyboard.
“Secara tiba-tiba, arwah tidak sedarkan diri dan tergigit lidah hingga berdarah ketika sedang buat persembahan.
“Saya percaya arwah kepenatan dan tidak cukup tidur disebabkan baru balik membuat tinjauan lokasi penggambaran di Lumut,” demikian kata isterinya, Hasmah Hassan yang mengesahkan kematian suaminya itu , dipercayai mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri ketika berada di Sarang Art Hub.
“Saya tak sangka arwah akan pergi kerana keadaannya baik-baik sahaja. Semuanya seperti biasa.
“Arwah pergi dengan mudah. Abang Mamat sudah tiada,” ujarnya dipetik sebagai berkata melalui Berita Harian.
Jenazah arwah akan disemadikan di Ipoh, pagi ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!