Yayasan ANGKASA sasar dana RM500,000 bantu pendidikan anak Sabah
Yayasan ANGKASA sasar dana RM500,000 bantu pendidikan anak Sabah
KOTA KINABALU: Yayasan ANGKASA menyasarkan kutipan dana RM500,000 menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Gala Perdana Koperasi Sabah 2026 bagi memperluas bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga anggota koperasi, termasuk di kawasan luar bandar.
Sasaran itu mendapat sokongan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Haji Aman yang menyatakan kesediaan menghadiri majlis berkenaan bersama barisan kepimpinan negeri.
Sokongan itu disampaikan ketika menerima kunjungan hormat Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah bersama wakil Yayasan ANGKASA dan Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) di Istana Kota Kinabalu, pada 29 Oktober lalu.
Kunjungan itu bertujuan memperkenalkan peranan Yayasan ANGKASA dan KOPSYA selain mendapatkan pandangan serta sokongan TYT terhadap usaha memperluas manfaat pendidikan dan memperkukuh pembangunan komuniti koperasi di Sabah.
Tun Musa turut mencadangkan supaya agensi berkaitan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digembleng bagi membantu merealisasikan sasaran kutipan dana berkenaan.
Dana itu diharap dapat mengurangkan beban kewangan pelajar, meningkatkan peluang mereka menamatkan pengajian serta menggalakkan penglibatan sektor korporat dalam memperkasa pendidikan anak Sabah.
Abdul Fattah berkata, majlis berkenaan menyasarkan kehadiran 1,000 tetamu menerusi tempahan 10 meja dengan kutipan dana berjumlah RM500,000.
Menurutnya, inisiatif itu membuka peluang memperluas bantuan pendidikan kepada lebih ramai pelajar layak, khususnya daripada kawasan luar bandar, selain melahirkan bakat bagi memenuhi keperluan negeri dan industri.
Beliau berkata, majlis itu turut menjadi platform memperkukuh jaringan keanggotaan KOPSYA di Sabah, dengan koperasi anggota KOPSYA akan menerima jemputan khas tanpa perlu membuat tempahan meja.
Yayasan ANGKASA yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan anggota dan anak koperasi menyediakan pelbagai inisiatif termasuk Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PBU), biasiswa serta program kecemerlangan pendidikan.
Sepanjang 25 tahun penubuhannya, yayasan itu membantu 2,012 pelajar menerusi pembiayaan berjumlah RM26.6 juta.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sabah, Dr Zhamriee Gulamrasul; Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Haslinda Haji Ahmad; Timbalan Pengerusi KOPSYA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ar-Rahnu, Datuk Haji Mohd Jamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif KOPSYA, Hajah Fatimah Nurhaliza Mohd Hatta.-SAHIH
#ANGKASA #YayasanANGKASA #KOPSYA #Pendidikan
