Pesara maut motosikal terbabas masuk longkang
Pesara maut motosikal terbabas masuk longkang
BERA – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ke dalam longkang di Kilometer 28, Jalan Temerloh-Bahau, di sini, hari ini .
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Moh Ching Tek, 72, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Bahau.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke bahu jalan lalu terjunam ke dalam longkang.
“Akibat insiden itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkiflee berkata, keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik dan jalan kering dengan laluan lurus serta berturap, namun bahu jalan tidak berturap.
Katanya, motosikal dinaiki mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan, manakala post mortem akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Bera bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan. ” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap motosikal akan dilakukan oleh pihak Puspakom, manakala usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan saksi kejadian.-SAHIH