Tiga beranak maut dirempuh lori imigresen dikebumi satu liang lahat
Tiga beranak maut dirempuh lori imigresen dikebumi satu liang lahat
IPOH: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di ibu negara, selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, malam tadi.
Jenazah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin dan Siti Darwisyah Auni dikebumikan kira-kira jam 11 malam.
Terdahulu, jenazah pesara tentera bersama dua anaknya itu selesai menjalani proses bedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketiga-tiga jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang sebelum dibawa pulang ke Perak untuk urusan pengebumian.
Kira-kira 300 penduduk kampung, ahli keluarga dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir serta menunggu sehingga proses pengebumian selesai.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Rabu, ketiga-tiga mangsa maut selepas dirempuh sebuah lori tahanan JIM atau dikenali sebagai ‘Black Maria’ di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Isteri Shaik Mohd Firdaus, Norhayati Razali yang turut cedera dalam kejadian itu dilaporkan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HKL.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori tanpa muatan berkenaan dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi menjalankan operasi pendatang tanpa izin.
Lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah dengan lampu suar serta siren diaktifkan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau.
Pertembungan itu dipercayai menyebabkan lori terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh ketiga-tiga mangsa serta sebuah motosikal Modenas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Jabatan Imigresen Malaysia, JIM, Black Maria, tiga beranak maut, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, Siti Nor Sazlin, Siti Darwisyah Auni, kemalangan, Jalan Sultan Ismail, pengebumian, Perak
