ANGKASA perkukuh hubungan koperasi antarabangsa
ANGKASA perkukuh hubungan koperasi antarabangsa
KELANA JAYA – ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menerima kunjungan sulung Ketua Pengarah Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Jeroen Douglas bagi memperkukuh hubungan serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam pembangunan gerakan koperasi global.
Kunjungan di Wisma Ungku A Aziz, di sini, pada 23 November lalu turut disertai Ahli Lembaga ICA merangkap Ketua Pegawai Eksekutif National Cooperative Business Association CLUSA International, Doug O’Brien.
Ketibaan kedua-dua pemimpin itu disambut Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah bersama barisan kepimpinan organisasi berkenaan.
Dalam sesi taklimat, Abdul Fattah berkongsi mengenai struktur dan ekosistem gerakan koperasi Malaysia yang disokong tiga badan utama iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan ANGKASA.
Beliau berkata, ANGKASA adalah badan apeks tunggal yang mewakili lebih 16,000 koperasi berdaftar dengan keanggotaan melebihi tujuh juta individu di seluruh negara.
Menurutnya, ANGKASA menyertai ICA sejak 1972 dan terus memainkan peranan aktif dalam jaringan koperasi antarabangsa menerusi penglibatan dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat ICA serta ICA-Asia Pacific (ICA-AP).
Sementara itu, Jeroen merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas kesudian menerima kunjungan berkenaan.
Beliau menyifatkan peluang berinteraksi dengan gerakan koperasi di negara berbeza sebagai pengalaman penting untuk memahami kepelbagaian budaya serta pendekatan pembangunan koperasi.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh peranan koperasi dalam memberikan manfaat kepada pengguna selain membincangkan hala tuju dan fokus strategik ICA bersama kepimpinan ANGKASA.
Doug pula berkongsi pandangan mengenai perkembangan gerakan koperasi serta kepentingan kerjasama dan perkongsian pengalaman di peringkat antarabangsa.
Pada sebelah petang, kedua-dua pemimpin ICA meneruskan kunjungan ke Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad di Bandar Sri Damansara.
Koop Sahabat, yang juga anggota baharu ICA dan antara koperasi bertaraf Premier di Malaysia, memainkan peranan memperkasakan sosioekonomi anggota menerusi pelbagai cabang perniagaan serta pelaburan termasuk perkhidmatan pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) dan sektor hartanah.
Kunjungan itu turut disertai Bendahari Koop Sahabat, Norsharizal Mashahrin, barisan Ahli Lembaga serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Haji Mazri Mahmood.
Delegasi berkenaan turut mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan sebelum meninjau operasi Sahabat Ar-Rahnu.-SAHIH
#ANGKASA #KoperasiMalaysia #ICA #KoperasiAntarabangsa
