25 tahun dihimpit habuk, asap dan bising
25 tahun dihimpit habuk, asap dan bising
BENTONG: “Kami cuma mahu hidup dengan aman.”
Itu luahan seorang warga emas yang mendakwa terpaksa berdepan masalah habuk, asap diesel dan bunyi bising daripada sebuah premis berhampiran kediamannya sejak 25 tahun lalu.
T Nadarajah, 67, berkata, dia tampil bersuara bukan sahaja bagi pihak keluarganya, malah mewakili jiran berdekatan yang didakwa turut terkesan dengan masalah berkenaan.
Menurutnya, gangguan itu bermula sejak 2001 dan sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian walaupun beberapa aduan sudah dibuat kepada pihak berkaitan.
“Sejak 2001 sampai sekarang masalah ini berlaku. Habuk masuk ke rumah, ada asap diesel dan bunyi bising.
“Saya sudah banyak kali membuat aduan dan berharap ada tindakan yang dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bentong.
Nadarajah mendakwa, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan keselesaan keluarganya, malah menyebabkan kediamannya dipenuhi habuk selain terdapat keretakan pada dinding dan lantai.
Katanya, antara 2001 hingga 2020, dia membuat aduan kepada pihak penguat kuasa sebanyak lima hingga enam kali, selain mendapatkan bantuan beberapa pihak serta beberapa kali menemui pihak Pejabat Daerah.

Menurutnya, aduan terbaharu turut dibuat tahun ini dan pihak penguat kuasa sudah datang melakukan pemeriksaan, namun dia mendakwa masih belum menerima maklum balas berhubung tindakan susulan.
Nadarajah berkata, masalah berkenaan bukan hanya membabitkan rumahnya kerana dianggarkan antara 30 hingga 40 kediaman di kawasan itu turut terjejas.
Isterinya, ST Devi, 58, turut berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap masalah yang berlarutan itu kerana ia memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk.
Nadarajah berkata, dia dan penduduk tidak berniat menghalang mana-mana pihak menjalankan perniagaan, sebaliknya berharap operasi yang didakwa menjadi punca gangguan berkenaan dapat dipindahkan ke lokasi lebih sesuai.
“Kalau boleh, pindahkan operasi itu ke kawasan lain yang lebih sesuai dan tidak mengganggu penduduk.
“Saya berharap pihak berkuasa di sini dapat membantu menyelesaikan perkara ini kerana masalah ini sudah terlalu lama,” katanya.
Katanya, penduduk hanya mengharapkan penyelesaian menyeluruh yang dapat menjaga kepentingan semua pihak termasuk penduduk dan pengusaha premis terbabit – SAHIH
#kw warga emas, T Nadarajah, Bentong, habuk, asap diesel, bunyi bising, pencemaran, keretakan rumah, aduan penduduk, pihak berkuasa





