Bantu penjaja, peniaga kecil tingkat pendapatan
Bantu penjaja, peniaga kecil tingkat pendapatan
KAJANG: Kerajaan mahu memastikan bantuan kepada golongan penjaja dan peniaga kecil memberi kesan langsung terhadap peningkatan pendapatan mereka, sekali gus membantu kira-kira satu juta keluarga di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah penjaja, peniaga kecil dan kesatuan yang aktif di seluruh negara perlu diambil kira dalam penyelarasan bantuan kerajaan.
Katanya, beliau pada awalnya bercadang mengumumkan peruntukan RM100,000 sebelum mempertimbangkan keperluan sebenar golongan berkenaan.
“Saya mula nak umum RM100,000 saja cukup, RM100,000 itu banyaklah tetapi saya fikirkan berapa ratus ribu penjaja, berapa syarikat, berapa gerai dan berapa kesatuan ada seluruh negara.
“Jadi atur baik-baik dengan KUSKOP dan bantu supaya tiap-tiap tahun ada peningkatan pendapatan penjaja dan peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 di Kajang, Selangor, pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar meminta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama agensi pembiayaan termasuk TEKUN Nasional dan Bank Rakyat terus mempermudah akses pinjaman mikro tanpa kerenah birokrasi membebankan.
Katanya, kementerian juga perlu memantau perkembangan pendapatan peniaga kecil secara berkala bagi menilai keberkesanan bantuan dan mengenal pasti kelemahan pelaksanaan.
Beliau berkata, perbandingan purata pendapatan penjaja dan peniaga kecil bagi tempoh tiga tahun lalu dengan tahun ini perlu dilakukan bagi mengukur peningkatan hasil usaha kerajaan.
“Saya nak tahu perkembangan, ambil purata pendapatan penjaja dan peniaga tiga tahun lalu dengan tahun ini, berapa peningkatan.
“Ini cara kita buat penilaian apa kelemahan dan kekurangan kerana bagi saya, kalau kita dapat bantu penjaja dan peniaga kecil ini, mereka akan bantu satu juta keluarga dalam negara kita,” katanya.-SAHIH
#Penjaja #PeniagaKecil #KUSKOP #HPPK2026
