PM umum RM1 juta bantu persatuan penjaja, peniaga kecil
PM umum RM1 juta bantu persatuan penjaja, peniaga kecil
KAJANG: Kerajaan mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil tempatan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu mengambil kira jumlah besar penjaja, peniaga kecil dan kesatuan yang bergerak aktif di seluruh negara.
Katanya, peruntukan berkenaan perlu diselaraskan dengan baik supaya manfaatnya dapat disalurkan kepada golongan sasaran dan membantu meningkatkan pendapatan mereka setiap tahun.
“Saya mula nak umum RM100,000 saja cukup, RM100,000 itu banyaklah tetapi saya fikirkan berapa ratus ribu penjaja, berapa syarikat, berapa gerai dan berapa kesatuan ada seluruh negara.
“Jadi atur baik-baik dengan KUSKOP dan bantu supaya tiap-tiap tahun ada peningkatan pendapatan penjaja dan peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar meminta KUSKOP bersama agensi pembiayaan termasuk TEKUN Nasional dan Bank Rakyat terus mempermudah akses pinjaman mikro tanpa kerenah birokrasi membebankan.
Katanya, kementerian juga perlu memantau perkembangan pendapatan penjaja dan peniaga kecil secara berkala bagi menilai keberkesanan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata, perbandingan purata pendapatan golongan berkenaan bagi tempoh tiga tahun lalu dengan tahun ini perlu dibuat bagi mengenal pasti peningkatan serta kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Saya nak tahu perkembangan, ambil purata pendapatan penjaja dan peniaga tiga tahun lalu dengan tahun ini, berapa peningkatan.
“Ini cara kita buat penilaian apa kelemahan dan kekurangan kerana bagi saya, kalau kita dapat bantu penjaja dan peniaga kecil ini, mereka akan bantu satu juta keluarga dalam negara kita,” katanya.-SAHIH
#HPPK2026 #Penjaja #PeniagaKecil #KUSKOP
