PH sedia meterai MoU dengan pembangkang demi kestabilan politik
PH sedia meterai MoU dengan pembangkang demi kestabilan politik
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) bersetuju secara rasmi untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, persetujuan berkenaan dicapai menerusi Majlis Presiden PH dengan menggunakan pendekatan memorandum persefahaman.
Beliau berkata, langkah itu bukan perkara baharu kerana pernah dilaksanakan PH ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, persefahaman berkenaan ketika itu bukan bermaksud PH menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri, sebaliknya bagi memastikan kestabilan politik dan mengelakkan cubaan menjatuhkan kerajaan.
“Bukan bermaksud kita menyokong Ismail Sabri pada ketika itu, cuma kita mahu memastikan kestabilan politik dan tiada mana-mana pihak cuba ‘tebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Atas semangat itu kita menandatangani memorandum persefahaman dengan Datuk Seri Ismail Sabri pada ketika itu, jadi semangat yang sama untuk sekarang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Kuala Lumpur, pada Ahad.
Menurutnya, ruang perbincangan dan rundingan berhubung perkara itu terbuka kepada semua Ahli Parlimen pembangkang tanpa mengira parti.
Katanya, usaha berkenaan bukan hanya terhad kepada wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Loke berkata, cadangan berkenaan juga sudah disuarakan di Parlimen sejak lebih setahun lalu bagi mengelakkan cubaan menjatuhkan kerajaan dari dalam Dewan Rakyat sehingga mencetuskan ketidaktentuan politik seperti berlaku pada 2020.-SAHIH
#DAP #PakatanHarapan #AnthonyLoke #KestabilanPolitik
