Parcel Shield bendung penipuan bungkusan
Parcel Shield bendung penipuan bungkusan
SHAH ALAM: Ancaman penipuan bungkusan atau parcel scam yang semakin licik mendorong pelancaran inisiatif anti-penipuan Parcel Shield bagi memperkukuh kerjasama industri pos, kurier dan e-dagang dalam membanteras kegiatan berkenaan.
Diterajui Postal Forum, badan kawal selia kendiri dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), inisiatif itu menyediakan platform perkongsian maklumat, amaran awal dan penyelarasan langkah pencegahan menerusi Kumpulan Kerja Parcel Shield.
Ketua Pegawai Eksekutif Postal Forum, Nurhafizah Hanifah berkata, platform berkenaan membolehkan syarikat dalam industri berkongsi maklumat risikan bagi mengesan taktik penipuan dan memberi amaran kepada organisasi lain.
“Kita kumpulkan industri kurier, pos dan e-dagang untuk bergabung tenaga dan berkongsi risikan.
“Sebagai contoh, jika satu syarikat terkena, mereka akan berkongsi dengan Postal Forum supaya kami boleh memberi amaran kepada syarikat lain dan pelesen lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kurier Negara yang disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, kumpulan kerja berkenaan sudah mengadakan mesyuarat pertama membabitkan 14 organisasi pada bulan lalu sekali gus menandakan penubuhannya secara rasmi.
Selain perkongsian maklumat, Postal Forum turut akan mempergiat kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat mengenai taktik terkini penipuan serta langkah pencegahan sekiranya menjadi mangsa.
Antara organisasi terbabit ialah ABX Express, City-Link Express, DHL eCommerce, GD Express, J&T Express, MTR Freight, Pos Malaysia, SF Global Express, Skynet Worldwide, SPX Express, Teleport, TikTok Shop, United Parcel Service (UPS) dan Mudah.my.-SAHIH
#ParcelShield #ScamBungkusan #PostalForum #HariKurierNegara
