Warga Felda PRU16 Masa ‘Tebus’ Silap PRU15
Warga Felda PRU16 Masa ‘Tebus’ Silap PRU15
MARAN : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan peneroka dan generasi muda FELDA supaya tidak mengulangi kesilapan membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, sebaliknya menjadikan PRU16 sebagai peluang untuk ‘menebus’ keputusan itu.
Wan Rosdy berkata, seorang pemimpin belia FELDA memberi jaminan dan tanggungjawab berusaha memastikan peneroka serta pemuda-pemudi tanah rancangan tidak lagi tersilap membuat pilihan pada pilihan raya akan datang.
“Kalau orang tersilap pilih pada PRU15 dulu, dia berjanji akan berusaha memastikan peneroka dan pemuda-pemudi tidak lagi tersilap pilih dalam PRU16,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Generasi FELDA Pahang dan FELDA Moto Fest 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka, di sini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut memaklumkan Sambutan Hari Peneroka FELDA peringkat kebangsaan sempena ulang tahun ke-70 FELDA akan diadakan di lokasi sama pada 7 Julai ini.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail – Menteri Besar Pahang
Katanya, kerajaan Pahang juga komited menyelesaikan isu hak milik tanah peneroka, termasuk baki satu peratus yang masih belum selesai.
“Tadi dimaklumkan 99 peratus surat hak milik sudah diberikan kepada peneroka. Baki satu peratus lagi, insya-Allah kita akan selesaikan tahun ini,” katanya.
Menurutnya, kerajaan Pahang mampu menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat hasil pengurusan kewangan negeri yang baik, termasuk mengekang ketirisan serta meningkatkan kutipan hasil.
Beliau berkata, antara bantuan disalurkan termasuk RM400 setahun kepada anak Pahang yang melanjutkan pengajian di universiti serta RM750 kepada jemaah haji, termasuk mereka yang menetap di luar Pahang.
Katanya, kestabilan politik perlu dikekalkan bagi memastikan Pahang terus menjadi pilihan pelabur dan berpotensi muncul sebagai hab ekonomi Pantai Timur.-SAHIH





