UMNO jangan terus dijangkiti ‘penyakit’ tak percaya sesama ahli
UMNO jangan terus dijangkiti ‘penyakit’ tak percaya sesama ahli
JERANTUT – UMNO diingatkan supaya tidak terus “dijangkiti” penyakit tidak mempercayai sesama ahli kerana ia boleh melemahkan kekuatan parti menjelang pilihan raya akan datang.
AJK Bahagian UMNO Jengka 24, Razak Daud berkata, sikap berpecah dan hilang keyakinan antara satu sama lain merupakan cabaran paling besar yang perlu dibendung segera di semua peringkat cawangan.
Menurutnya, kekalahan parti di beberapa kawasan sebelum ini sepatutnya dijadikan pengajaran agar ahli kembali bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan.
“Penyakit paling berat ialah bila sesama ahli UMNO sendiri tidak percaya mempercayai. Saya harap di cawangan ini tidak berlaku perkara begitu.

“Kalau ada masalah, bawa bincang ramai-ramai. Insya-Allah saya percaya segala kesukaran boleh diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Felda Jengka 24 Tahun 2026 di Dewan Mat Kilau, Felda Jengka 24, di sini, hari ini.
Razak dalam pada itu turut menyeru Pemuda dan Puteri UMNO supaya tampil lebih agresif menguasai media digital sebagai senjata utama parti bagi mendekati rakyat khususnya pengundi muda.
Katanya, landskap politik hari ini sudah berubah apabila platform media sosial dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) menjadi medan utama penyebaran maklumat serta pembentukan persepsi rakyat.
“Sekarang ini kita berdepan sistem baharu termasuk AI. Kalau nak harapkan orang tua memang susah.
“Orang muda kena ke depan, orang tua di belakang. Kalau tumbang orang muda, tumbanglah sama-sama,” katanya.
Razak berkata, beliau yakin kepimpinan Pemuda UMNO Felda Jengka 24 mampu menggerakkan jentera lebih tersusun dan berkesan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan sebarang masalah atau cadangan daripada akar umbi boleh dibawa ke peringkat bahagian untuk tindakan lanjut.
Persidangan itu turut dihadiri Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Hamdan Ismail serta Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Nor Azliza Ibrahim.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Cawangan, Rogayah Said, Ketua Pemuda, Mohd Fierdaus Atib, Ketua Puteri, Norfazliza Mohd Nadzran serta Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Nur Syahirah Ahmad Fazana.-SAHIH
