Pemuda, Puteri UMNO diseru kuasai media digital jelang PRU
Pemuda, Puteri UMNO diseru kuasai media digital jelang PRU
JERANTUT – Pemuda dan Puteri UMNO diseru tampil lebih agresif menguasai media digital sebagai senjata utama parti bagi mendekati rakyat khususnya pengundi muda menjelang pilihan raya akan datang.
AJK Bahagian UMNO Jengka 24, Razak Daud berkata, landskap politik hari ini sudah berubah apabila platform media sosial dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) menjadi medium utama penyebaran maklumat serta medan pertempuran persepsi.
Menurutnya, golongan muda perlu berada di hadapan untuk menggerakkan strategi komunikasi parti kerana ia lebih dekat dengan penggunaan teknologi dan trend semasa.
“Sekarang ini kita berdepan sistem baharu termasuk AI. Kalau nak harapkan orang tua memang susah.
“Orang muda kena ke depan, orang tua di belakang. Kalau tumbang orang muda, tumbanglah sama-sama,” katanya ketika berucap pada Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Felda Jengka 24 Tahun 2026 di Dewan Mat Kilau, Felda Jengka 24, di sini, hari ini.
Razak dalam pada itu menegaskan UMNO juga perlu segera memperkukuh kesepaduan akar umbi terutama dalam kalangan ahli parti bagi memastikan kekuatan jentera tidak terus terjejas.
Katanya, kekalahan parti di beberapa kawasan sebelum ini wajar dijadikan pengajaran supaya setiap peringkat cawangan dapat memperkemas gerak kerja serta menyelesaikan isu dalaman secara berhemah.
Menurutnya, antara cabaran paling besar ketika ini ialah sikap segelintir ahli yang masih tidak mempercayai antara satu sama lain sehingga menjejaskan kekuatan parti.
“Penyakit paling berat ialah bila sesama ahli UMNO sendiri tidak percaya mempercayai. Saya harap di cawangan ini tidak berlaku perkara begitu.
“Kalau ada masalah, bawa bincang ramai-ramai. Insya-Allah saya percaya segala kesukaran boleh diselesaikan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Pemuda UMNO Felda Jengka 24 yang disifatkan mampu menggerakkan jentera lebih tersusun dan berkesan bagi menghadapi pilihan raya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan sebarang masalah atau cadangan daripada akar umbi boleh dibawa ke peringkat bahagian untuk tindakan lanjut.
Persidangan itu turut dihadiri Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Hamdan Ismail serta Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Nor Azliza Ibrahim.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Cawangan, Rogayah Said, Ketua Pemuda, Mohd Fierdaus Atib,Ketua Puteri Norfazliza Mohd Nadzran serta Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Nur Syahirah Ahmad Fazana.-SAHIH
