Kerusi Parlimen Indera Mahkota masih belum diputuskan milik sesiapa
Kerusi Parlimen Indera Mahkota masih belum diputuskan milik sesiapa
KUANTAN – Selepas hampir sebulan berdiam diri, UMNO Bahagian Indera Mahkota hari ini secara rasmi menyatakan rasa ‘kurang selesa’ dengan pengumuman dibuat Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkaitan kerusi Parlimen Indera Mahkota.
Ahmad Farhan ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Indera Mahkota pada 11 April lalu mengumumkan beliau diamanahkan untuk merampas kerusi Parlimen itu yang kini disandang Datuk Saifuddin Abdullah.
Naib Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Abdul Aziz Abdullah dalam satu kenyataan menegaskan, pengumuman dibuat Ahmad Farhan sebagai ‘tidak kena dengan masa’.
“Kami melihat pengumuman itu sebagai ‘separuh masak’ memandangkan belum ada sebarang perbincangan antara PKR dan UMNO dalam menentu siapa akan bertanding di kerusi berkenaan.
“Jadi, pengumuman Ahmad Farhan tidak boleh dikira sebagai beliau hampir pasti menjadi calon untuk Parlimen Indera Mahkota.
“Lagi pula, UMNO Bahagian Indera Mahkota masih wujud… sepatutnya hal penting seperti ini dibincangkan terlebih dahulu,” katanya.
Abdul Aziz juga menggambarkan Ahmad Farhan sebagai tidak menghormati semangat persefahaman yang dipersetujui semasa pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, setiap keputusan dan pengumuman hanya boleh dibuat selepas perbincangan antara wakil dalam gabungan Kerajaan Perpaduan selesai.
“Ini tidak, bincang pun belum tapi dah umum awal-awal lagi dia nak bertanding di situ.
“Kalau PKR cakap dia yakin boleh merampas semula kerusi berkenaan, kami (UMNO) pun boleh cakap benda sama.
“Nasihat saya kepada PKR, janganlah terlalu yakin mereka boleh menang di situ… UMNO Indera Mahkota pun dah lama buat kerja, dah lama bertapak di sini,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan PKR agar tidak terlalu memikirkan hal berkaitan politik 24 jam sebaliknya berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Ujarnya, tidak guna berebut kerusi yang belum pasti boleh dimenangi sedangkan pandangan rakyat kepada imej kerajaan hari ini masih belum pulih sepenuhnya.-SAHIH
