AMK Jerantut seru ahli PKR kekal bersatu, fokus rampas DUN Damak
AMK Jerantut seru ahli PKR kekal bersatu, fokus rampas DUN Damak
JERANTUT – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Jerantut menyeru seluruh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di cabang itu supaya terus mengekalkan perpaduan dan tidak terjebak dengan perpecahan susulan kekecohan yang berlaku dalam Mesyuarat Cabang Jerantut baru-baru ini.

Ketua AMK Jerantut, Muhammad Hafami Jaafar berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu undi tidak percaya terhadap Ketua Cabang yang melibatkan sebahagian Ahli Jawatankuasa, namun berharap perkara itu dapat ditangani secara matang dan berhemah.
Menurutnya, kejadian yang ditularkan melalui media sosial baru-baru ini menunjukkan perbezaan pandangan dalam organisasi adalah sesuatu yang normal dalam sebuah parti yang dinamik, namun ia tidak seharusnya membawa kepada perpecahan sehingga melemahkan kekuatan parti.
“Sebagai Ketua AMK Jerantut, saya menyeru agar kita semua kembali kepada asas perjuangan iaitu keadilan, integriti dan kesatuan.
“Kita berada dalam satu wadah yang sama membawa aspirasi rakyat dan tanggungjawab ini jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi atau kelompok,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya melihat isu berkenaan dengan hati terbuka dan rasional serta tidak menjadikan kepimpinan cabang sebagai musuh, sebaliknya sebagai rakan seperjuangan yang memikul amanah besar.
Katanya, sekiranya terdapat kelemahan atau ketidakpuasan hati, ia perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan dengan penuh hikmah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan seluruh ahli PKR Jerantut perlu kekal fokus memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi serta memberi tumpuan kepada usaha menawan kerusi DUN Damak pada pilihan raya akan datang.
“Segala tenaga, strategi dan perpaduan harus terus diperkukuhkan demi memastikan matlamat perjuangan parti dapat dicapai,” katanya.
Tambah beliau, AMK Jerantut komited memainkan peranan sebagai penggerak anak muda dengan membawa agenda lebih positif, progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Kita berbeza pandangan, tetapi tetap satu perjuangan,” katanya.-SAHIH.
