UMNO Jerantut tekad kuasai politik digital secara berstruktur hadapi PRU16
UMNO Jerantut tekad kuasai politik digital secara berstruktur hadapi PRU16
JERANTUT: UMNO Bahagian Jerantut menggesa setiap cawangan menyusun gerak kerja lebih tersusun termasuk memperkukuh penguasaan politik digital secara berstruktur bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, UMNO perlu bergerak seiring perubahan landskap politik semasa yang kini banyak dipengaruhi persepsi, emosi serta propaganda di media sosial.
Katanya, penguasaan platform digital seperti TikTok, Facebook dan X bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan utama untuk menepis dakyah pihak lawan.
“UMNO perlu menguasai politik digital secara tersusun dan berstruktur. Kita mesti aktif di media sosial untuk menyampaikan fakta yang betul dan munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat UMNO Cawangan Paya Teh Seboi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, baru-baru ini.
Razak berkata, antara gerak kerja yang perlu dilakukan di setiap cawangan ialah memperkasakan ‘rumah bangsa’ dengan membuka ruang kepada mereka yang pernah bersama UMNO untuk kembali menyertai parti.
Selain itu katanya, UMNO perlu lebih kerap menyantuni masyarakat melalui program secara konsisten walaupun dalam skala kecil, selain menyelesaikan isu setempat yang membabitkan rakyat.
Menurutnya, langkah membanteras persepsi dan permainan emosi juga penting bagi memastikan ahli serta masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan maklumat tidak tepat.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan supaya tidak wujud sebarang krisis dalaman parti kerana perpaduan menjadi kunci utama untuk memastikan UMNO kembali kuat.
“Kita mesti bersatu untuk bangkit. Jangan ada krisis dalam parti. Lakukan program secara berterusan dan konsisten,” katanya.

Razak turut mengingatkan ahli supaya memperbanyak perkongsian berkaitan kejayaan serta kebaikan dilakukan kerajaan Pahang termasuk Menteri Besar dan wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO Cawangan Paya Teh Seboi termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri yang berjaya melaksanakan persidangan dengan lancar.
Katanya, selepas selesai berucap hampir sejam, beliau turut didatangi beberapa ahli UMNO cawangan terbabit yang menyifatkan ucapan disampaikan memberi kesan mendalam serta membuka mata ahli mengenai persediaan menghadapi PRU16.-SAHIH
