PH kekalkan lima penyandang, Ginie Lim kembali bertanding
PH kekalkan lima penyandang, Ginie Lim kembali bertanding
MELAKA: Pakatan Harapan (PH) mengekalkan lima penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November ini.
Senarai calon itu diumumkan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, malam Sabtu.
Antara penyandang yang dikekalkan ialah Timbalan Menteri Pertahanan yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang bakal mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil, disandangnya sejak 2018.
Adly yang juga Pengerusi PH Melaka dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan satu-satunya penyandang daripada parti itu yang dikekalkan.
Empat lagi penyandang daripada DAP ialah Seah Shoo Chin di DUN Kesidang, Kerk Cheen Yee (Ayer Keroh), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir).
Turut mencuri perhatian ialah kemunculan semula bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ginie Lim Siew Lin yang bakal bertanding di DUN Machap Jaya.
Ginie Lim sebelum ini pernah menyandang kerusi berkenaan sebelum kembali diberi kepercayaan untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi DUN Kelebang.
Farzana Hayani sebelum ini pernah dicalonkan di DUN Sungai Rambai pada PRN Melaka 2021.
Secara keseluruhan, PH mempertaruhkan 21 calon membabitkan sembilan daripada PKR, tujuh DAP dan lima Amanah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November sebelum hari mengundi pada 14 November.-SAHIH
#PRNMelaka #PakatanHarapan #AdlyZahari #GinieLim
