BN gugur tujuh penyandang, kekalkan Ab Rauf, Akmal
BN gugur tujuh penyandang, kekalkan Ab Rauf, Akmal
MELAKA: Barisan Nasional (BN) menggugurkan tujuh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menampilkan muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November ini.
Bagaimanapun, tiga pemimpin utama gabungan itu dikekalkan termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara.
Dua lagi ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang masing-masing akan mempertahankan DUN Merlimau dan Duyong.
Antara muka baharu yang diberi kepercayaan bertanding ialah Ahmad Norazril Abdul Aziz bagi DUN Rembia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Ayer Molek), Datuk Dr Mustafa Musa (Durian Tunggal) dan Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu).
Turut mencuri perhatian ialah penyandang DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang bertukar gelanggang untuk bertanding di DUN Sungai Udang.
Sementara itu, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyandang kerusi DUN Lendu antara tujuh penyandang yang tidak dicalonkan semula.
Turut digugurkan ialah Datuk Zaidi Attan (Serkam), Datuk Siti Faizah Abd Azis (Sungai Rambai) dan Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek).
Tiga lagi ialah Datuk VP Shanmugam (Gadek), Datuk Kalsom Noordin (Pengkalan Batu) dan Datuk Zahari Abd Kalil (Durian Tunggal).
Pengumuman itu menyaksikan BN melakukan perubahan terhadap barisan calonnya dengan menggabungkan pemimpin berpengalaman dan muka baharu bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

BN mengumumkan 21 calon termasuk lapan muka baharu untuk bertanding pada PRN Melaka kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November sebelum hari mengundi pada 14 November.-SAHIH
#PRNMelaka #BarisanNasional #AbRaufYusoh #MuhamadAkmalSaleh
