Larangan Waze demi keselamatan negara, bukan sekat rakyat – Anwar
Larangan Waze demi keselamatan negara, bukan sekat rakyat – Anwar
MELAKA: Tindakan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi bertujuan melindungi maklumat sensitif serta pergerakan pegawai kerajaan daripada risiko penyalahgunaan data.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan keselamatan dan kedaulatan negara, terutama membabitkan pegawai yang mengendalikan urusan keselamatan.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira kedudukan syarikat Waze yang menurutnya beribu pejabat di Israel, selain mendakwa sebarang pertikaian undang-undang berkaitan aplikasi berkenaan perlu diselesaikan melalui mahkamah negara itu.
“Dalam kes ini Waze ini satu-satunya syarikat ibu pejabatnya di Israel, itu satu.
“Keduanya kalau ada masalah bersama Waze, ada tuntutan mahkamah, tak ada mahkamah dunia boleh selesaikan melainkan mahkamah Israel.
“Itu dalam perjanjian Waze, itu sebabnya kenapa saya ambil tindakan yang tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini, malam Sabtu.

Anwar bagaimanapun menjelaskan, tindakan kerajaan ketika ini tidak membabitkan larangan menyeluruh penggunaan Waze kepada orang ramai.
Katanya, sebarang keputusan untuk melaksanakan larangan penuh hanya akan dibuat selepas kerajaan meneliti keupayaan aplikasi navigasi alternatif yang tersedia.
Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan langkah berkenaan, termasuk prestasi aplikasi navigasi tempatan, TuJu yang masih memerlukan penambahbaikan.
Anwar berkata, kerajaan menerima teguran orang ramai berhubung perkara itu dan akan mencari penyelesaian terbaik tanpa mengabaikan pendirian negara terhadap Israel.
“Dan kalau ini sedikit mempersulitkan, saya mohon maaf dan kita akan cari jalan untuk menyelesaikan tanpa tunduk kepada sistem yang dibuat oleh Israel,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan tetap mengutamakan keselamatan maklumat dan kepentingan negara dalam setiap keputusan, selain mempertahankan pendirian Malaysia terhadap Israel.-SAHIH
#Waze #AnwarIbrahim #KeselamatanNegara #TuJu
