Hasutan kebencian kaum, agama tidak akan selamatkan negara – Anwar
Hasutan kebencian kaum, agama tidak akan selamatkan negara – Anwar
MELAKA: Perbuatan menghasut kebencian antara kaum dan agama tidak akan menjadikan sesebuah negara aman, sebaliknya boleh menggugat keharmonian serta keselamatan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepelbagaian kaum dan agama sepatutnya menjadi kekuatan dalam membangunkan negara, bukannya dieksploitasi untuk meraih kepentingan politik.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sejarah membuktikan kejayaan sesebuah negara tidak bergantung kepada perjuangan satu kelompok semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua kaum.
Katanya, kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan perjuangan mencapai kemerdekaan negara menjadi bukti pentingnya perpaduan dalam membina sebuah negara yang aman dan maju.
“Mesej ini harus jelas, mengapa saya tekankan perkara ini berulang kali? Kerana ada orang yang ingin memadamkan sejarah.
“Ada yang mengatakan hanya membangkitkan kebencian satu kaum akan menyelamatkan negara.
“Percayalah tidak ada negara di dunia yang akan selesa dan selamat kalau terus menghasut kebencian antara kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini, malam Sabtu.
Anwar berkata, usaha memperkukuh perpaduan nasional tidak bermakna kepentingan orang Melayu dan Bumiputera diketepikan dalam agenda pembangunan negara.
Sebaliknya, beliau menegaskan pembangunan yang seimbang memerlukan penyertaan dan kerjasama semua kaum bagi memastikan kemajuan negara dapat dinikmati bersama.
Katanya, Melaka juga perlu terus dibangunkan melalui penglibatan masyarakat Melayu, Cina dan India yang memainkan peranan penting dalam memastikan kemajuan negeri itu.
Beliau berkata, kerjasama erat antara masyarakat pelbagai kaum perlu dipertahankan supaya pembangunan dapat diteruskan, sekali gus menjamin masa depan lebih baik kepada generasi muda.-SAHIH
#AnwarIbrahim #PerpaduanKaum #PHMelaka #KerajaanMADANI
