Program YNI buka mata masyarakat tentang erti syukur
Foto : Tetamu yang hadir pada Program Bicara Dari Hati terkedu apabila Fauziah memberi penjelasan tiga Ikon YNI merupakan OKU cacat penglihatan walaupun kelihatan normal dari segi fizikal.
Program YNI buka mata masyarakat tentang erti syukur
KAJANG – Bersyukur bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi satu manifestasi rendah diri serta pengakuan terhadap nikmat kurniaan Allah SWT. Ia menjadi benteng kepada sifat mazmumah seperti riak, hasad dan takbur, di samping mendorong insan untuk berbuat baik sesama manusia.
Atas semangat ini, Yayasan Nur Inspirasi (YNI) telah menganjurkan Program Bicara Dari Hati di pelbagai lokasi seluruh negara. Program ini mensasarkan komuniti berbeza seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, penghuni rumah kebajikan, pusat tahanan dan perkampungan nelayan.

Fauziah ketika menceritakan mengenai fungsi YNI dalam menyantuni pelbagai komuniti seluruh negara dengan mengetengahkan erti syukur.
Menariknya, program ini digerakkan oleh tiga ikon YNI yang merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, iaitu Dinie Rashid, Rashidi Abd dan Khairilazreen.
Walaupun pada pandangan mata kasar mereka kelihatan seperti pemuda biasa, hakikatnya mereka ialah insan istimewa yang pernah mengalami kegelapan penglihatan dalam usia muda akibat penyakit glaukoma.
Dalam sesi santai namun menyentuh hati itu, ketiga-tiga ikon berkongsi kisah perjuangan dan kecekalan mereka menerima takdir, serta bagaimana mereka mengubah ujian menjadi kekuatan.
Dinie Rashid, yang kini melanjutkan pelajaran di universiti, pernah mengalami tekanan dan kemurungan setelah penglihatannya merosot.
“Namun sokongan ibu bapa dan kesedaran saya sendiri serta bersyukur menjadikannya lebih tabah.
“Saya kini hanya mampu melihat 20 peratus, namun saya bersyukur kerana dapat menyanyi dan berkongsi kisah sebagai ikon YNI,” katanya.
Rakannya, Rashidi Abd, dia kehilangan penglihatan semasa usia remaja dan pernah gagal dalam SPM akibat tekanan.
“Namun kini, saya merupakan penulis dan jurufoto yang berjaya. “Allah itu Maha Adil. Saya diberi kemahiran dalam bidang lain, dan itu saya syukuri,” katanya dalam sesi di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih.
Khairilazreen, yang kini buta sepenuhnya, berkongsi bahawa beliau tetap bersyukur kerana sempat menikmati keindahan dunia sebelum gelap sepenuhnya.
Kini, beliau mahir bermain muzik dan urutan, serta memberi inspirasi kepada ramai dalam setiap jelajah bersama YNI.
“Walaupun saya tidak nampak wajah ibu bapa di pusat jagaan ini, saya harap mereka tetap bersyukur kerana masih dapat meneruskan kehidupan dengan aman,” katanya di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang.
Pengerusi YNI, Datin Fauziah Mohd Ramly, turut menyentuh pengajaran besar daripada Surah Ar-Rahman yang mengingatkan manusia supaya tidak mengingkari nikmat Allah. Sejak 13 tahun lalu, beliau aktif menyantuni golongan memerlukan seperti gelandangan, miskin bandar dan remaja bermasalah melalui mesej kesyukuran.
“Melalui pengalaman tiga ikon ini, masyarakat dapat memahami bahawa bersyukur bukan hanya ketika senang, tetapi lebih bermakna apabila diuji. Kita perlu sentiasa bersyukur agar tidak kufur nikmat,” katanya yang juga ibu kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Program YNI ini membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Syukur adalah anugerah hati yang dapat menyinari hidup sesiapa sahaja yang mahu melihat dengan mata hati.-SAHIH.