Nazlan tidak bersedia kembali bertanding PRU-16, poster tular disifatkan sekadar jenaka
Nazlan tidak bersedia kembali bertanding PRU-16, poster tular disifatkan sekadar jenaka
JERANTUT – Bekas Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris menegaskan beliau tidak bersedia untuk kembali ke gelanggang politik dan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Mengulas penularan sebuah poster di media sosial yang mengaitkan namanya sebagai calon UMNO bagi PRU akan datang, beliau menyifatkan perkara itu sebagai sekadar jenaka yang dilakukan pihak tertentu.
“Saya tidak bersedia untuk bertanding setelah meninggalkan arena politik hampir lima tahun. Berilah peluang kepada muka baharu yang lebih muda dan bertenaga untuk membawa cabaran parti pada PRU akan datang,” katanya ketika ditemui pada program tanggungjawab sosial korporat anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad di Sekolah Kebangsaan Gintong, hari ini.
Menurut Ahmad Nazlan, beliau hanya mengetahui mengenai kewujudan poster berkenaan selepas dihubungi beberapa rakan serta wakil media yang meminta pengesahan mengenainya.
Beliau turut berharap agar pihak tertentu tidak menggunakan namanya sehingga boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan ahli dan penyokong parti.
“Jangan gugat hubungan baik saya dengan rakan-rakan lama dalam UMNO, khususnya di UMNO Bahagian Jerantut. Saya melihat penularan poster ini seolah-olah cuba mengadu domba dan menjejaskan hubungan yang telah lama terjalin,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan dan jentera parti yang sedang berkhidmat di kawasan Parlimen Jerantut perlu terus diberi ruang untuk meneruskan tugas serta persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Saya berharap orang ramai tidak terus menyebarkan poster yang mula tular sejak tengah hari semalam. Kepada jentera dan kepimpinan parti di sini, teruskan berkhidmat seperti biasa demi kepentingan rakyat,” katanya.-SAHIH.
