Tiga murid SK FELDA Jengka 24 terima anugerah tokoh
Tiga murid SK FELDA Jengka 24 terima anugerah tokoh
JERANTUT – Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Jengka 24 menerima pengiktirafan Tokoh Akademik dan Tokoh Sahsiah pada Majlis Hari Apresiasi Pelajar sekolah itu.
Khairul Irsyad Fakhrullah bin Khirulazman dinobatkan Tokoh Akademik, manakala Harith Muizz bin Herman dan Nik Syaidatul Humairah binti Nik Zakaria masing-masing menerima anugerah Tokoh Sahsiah.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, majlis berkenaan bukan sekadar meraikan penerima anugerah, sebaliknya menghargai usaha, kesungguhan, disiplin dan ketekunan murid sepanjang tahun.
Beliau berkata, kejayaan diraih setiap murid tidak datang dengan mudah, sebaliknya hasil usaha berterusan, doa serta sokongan guru dan ibu bapa.
“Bagi yang menerima anugerah, tahniah dan teruskan usaha. Jangan cepat berpuas hati, jadikan kejayaan ini pemangkin untuk melangkah lebih jauh.
“Bagi yang belum menerima anugerah, jangan berkecil hati kerana setiap anak mempunyai bakat dan kelebihan masing-masing. Jangan pernah berhenti berusaha,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru SK FELDA Jengka 24 atas komitmen mendidik, membimbing serta membentuk sahsiah murid, selain menghargai sokongan ibu bapa dan penjaga terhadap pihak sekolah.
Razak berharap sekolah itu terus melahirkan murid yang cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia, berdisiplin dan berdaya saing.
Beliau berkata, kejayaan anak-anak perlu diraikan sebagai hasil kerjasama semua pihak, termasuk guru, ibu bapa dan komuniti setempat.-SAHIH
#FELDAJengka24 #HariApresiasiPelajar #TokohAkademik #TokohSahsiah
