MTL dijangka lebih buruk, enam negeri jadi tumpuan
MTL dijangka lebih buruk, enam negeri jadi tumpuan
BAGAN DATUK: Kerajaan mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini yang dijangka lebih buruk berbanding tahun sebelumnya susulan perubahan cuaca selepas fenomena El Nino.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyelarasan menyeluruh membabitkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah sudah dilaksanakan.
Katanya, NADMA bersama agensi penguatkuasaan turut mengenal pasti kawasan berisiko tinggi berlaku hujan luar biasa sepanjang musim tengkujuh.
“Pada tahun ini MTL dijangkakan akan lebih berat dari tahun-tahun yang lalu kerana kita tahu apabila El Nino sudah berlalu dan El Nino melanda banyak negara terutama di negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 di Dewan UMNO Bagan Datuk, pada Ahad.
Menurutnya, Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dikenal pasti sebagai negeri tumpuan sepanjang musim monsun kali ini.
Katanya, pembahagian tugas sudah dibuat kepada agensi penyelamat, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bersiap sedia dengan pangkalan stok bantuan makanan dan khemah pemindahan mangsa, termasuk sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memberi jaminan kebajikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta kelancaran peperiksaan ketika musim tengkujuh menjadi keutamaan kerajaan.
Katanya, perkara itu sudah dibincangkan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini bagi menyediakan pelan luar jangka untuk calon yang terjejas akibat banjir.
“Beliau (Fadhlina) menyatakan di kawasan yang dijangka berlaku banjir besar, pelajar sudah dikenal pasti dan akan dipindahkan ke sekolah yang mempunyai asrama untuk menduduki peperiksaan di tempat berkenaan.
“Lembaga Peperiksaan juga sudah bersiap siaga mengenai perkara ini,” katanya.-SAHIH
#MonsunTimurLaut #Banjir #NADMA #SPM2026
