Koperasi SMK Gombak Setia koperasi sekolah ke-53 raih RM1 juta
Koperasi SMK Gombak Setia koperasi sekolah ke-53 raih RM1 juta
GOMBAK: Koperasi SMK Gombak Setia Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam gerakan koperasi sekolah apabila berjaya mencatatkan perolehan RM1,146,371.61, sekali gus muncul koperasi sekolah ke-53 di negara ini melepasi paras RM1 juta.
Pencapaian membanggakan itu diumumkan Seksyen Pendidikan, Bahagian Pendidikan dan Perniagaan, Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA menerusi penghargaan pada 30 Oktober lalu.
Kejayaan itu hasil komitmen serta kerjasama Anggota Lembaga Koperasi (ALK), anggota koperasi, warga sekolah dan pihak pentadbiran dalam memastikan pengurusan serta aktiviti perniagaan koperasi terus berkembang.
Menariknya, koperasi berkenaan turut mempunyai rekod pencapaian di peringkat kebangsaan apabila pernah menerima Anugerah Khas Langganan Barangan Asas (BA100) Tertinggi 2022.
Pengiktirafan itu diberikan pada Majlis Anugerah Hari Koperasi Sekolah (HKS), Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) dan Ikon Koperator Muda Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan pada Januari 2023.
Perkembangan itu membuktikan koperasi sekolah berupaya berkembang sebagai entiti perniagaan berdaya maju, selain menjadi medan pembelajaran keusahawanan dan pengurusan kewangan kepada pelajar.
Sebelum ini, ANGKASA menyasarkan 100 koperasi sekolah mencapai perolehan RM1 juta sebagai usaha memperkukuh kedudukan sektor koperasi dalam ekosistem ekonomi negara.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kejayaan koperasi sekolah mencapai sasaran berkenaan turut didorong strategi perniagaan bersesuaian, pendigitalan serta sokongan berterusan pihak sekolah dan komuniti.
Kejayaan Koperasi SMK Gombak Setia Berhad itu diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak koperasi sekolah untuk meningkatkan prestasi perniagaan dan memperluas manfaat kepada anggota masing-masing.-SAHIH
#ANGKASA #KoperasiSekolah #SMKGombakSetia #EkonomiKoperasi
