ANGKASA salur geran RM20,000 kepada USIM
ANGKASA salur geran RM20,000 kepada USIM
NILAI: ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyalurkan geran penyelidikan RM20,000 kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi memperkukuh pembangunan sektor koperasi, khususnya dalam bidang pelancongan mesra Muslim.
Penyaluran geran itu dilaksanakan menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak sempena Majlis Apresiasi Rakan Industri dan Masyarakat USIM 2026 di Nilai Springs Resort Hotel, di sini, 25 November lalu.
ANGKASA diwakili Timbalan Presidennya, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dalam majlis berkenaan.
Geran berkenaan akan digunakan bagi menjalankan kajian pembangunan Modul Latihan Pelancongan Mesra Muslim Berasaskan Komunikasi Strategik, Penjenamaan dan Keterlihatan Digital Koperasi.
Kajian itu bertujuan mengenal pasti tahap keterlihatan, keupayaan serta usaha memperkukuh jenama koperasi dalam sektor pelancongan mesra Muslim menerusi strategi komunikasi digital lebih berkesan.
Kerjasama strategik itu turut merangkumi khidmat rundingan dan kepakaran pembangunan koperasi, program akademik dan latihan, pembangunan modal insan, pembelajaran sepanjang hayat serta penyelidikan dan penerbitan bersama.
Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Ts Dr Sharifudin Md Sharaani berkata, kerjasama antara universiti, industri dan masyarakat menerusi perkongsian ilmu, pengalaman serta teknologi mampu membantu menangani cabaran industri dan komuniti.
Beliau berkata, usaha itu turut selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang membuka peluang kepada USIM menyumbang dalam pembangunan industri dan komuniti negara.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof Ts Dr Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa berkata, kerjasama berkenaan selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Katanya, hubungan strategik universiti dan industri mampu merancakkan pembangunan ekonomi, meningkatkan kebolehpasaran bakat serta memacu inovasi selain menyokong pembangunan masyarakat secara inklusif.
Majlis anjuran Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM itu turut menyaksikan penyampaian sembilan anugerah kepada rakan industri dan komuniti sebagai penghargaan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan universiti sepanjang 2025.-SAHIH
#ANGKASA #USIM #Koperasi #PelanconganMesraMuslim
