BERSATU Jalan Bahagia Kekal Setia, Tolak Ikut Jejak Sertai RESET
BERSATU Jalan Bahagia Kekal Setia, Tolak Ikut Jejak Sertai RESET
TEMERLOH – BERSATU Cawangan Jalan Bahagia menegaskan pendirian untuk terus kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meskipun beberapa pimpinan dan ahli BERSATU Bahagian Temerloh mengambil keputusan meninggalkan parti bagi menyertai Gerakan RESET.
Ketua Cawangan BERSATU Jalan Bahagia, Abd Jamil Yaakub berkata, tindakan berkenaan adalah keputusan peribadi individu terbabit dan tidak mewakili keseluruhan ahli serta kepimpinan akar umbi BERSATU di Bahagian Temerloh.
Menurutnya, cawangan itu bersama keseluruhan Ahli Jawatankuasa Cawangan kekal teguh bersama BERSATU dan tidak terlibat dalam keputusan menyertai Gerakan RESET.
“Malah, beberapa pimpinan lain termasuk Ketua Cawangan Semantan turut memilih untuk terus bersama parti dan meneruskan perjuangan di bawah wadah BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan tindakan majoriti kepimpinan bahagian meninggalkan parti, struktur kepimpinan BERSATU Bahagian Temerloh yang sedia ada secara automatik tidak lagi berfungsi seperti sebelumnya dan memerlukan penyusunan semula mengikut peruntukan serta perlembagaan parti.
Abd Jamil berkata, beliau menghormati hak setiap individu untuk menentukan haluan politik masing-masing, namun menegaskan bahawa kesetiaan kepada perjuangan tidak seharusnya berubah hanya kerana faktor kepimpinan atau kecenderungan terhadap individu tertentu.
“Parti adalah lebih besar daripada mana-mana tokoh dan perjuangan lebih utama daripada kepentingan kelompok. BERSATU ditubuhkan atas asas memperjuangkan kepentingan rakyat, integriti dalam pentadbiran serta masa depan negara dan prinsip itu kekal tidak berubah,” katanya.
Menurut beliau, ahli akar umbi berhak mendapat kepimpinan yang konsisten dan bertanggungjawab, justeru tindakan meninggalkan parti ketika ahli masih meletakkan harapan kepada organisasi perlu dinilai dengan penuh tanggungjawab.
Beliau turut menyeru seluruh ahli dan penyokong BERSATU di Temerloh supaya terus memperkukuhkan saf perjuangan, mengelakkan perpecahan serta tidak terpengaruh dengan sentimen yang boleh melemahkan parti.
“Cabaran yang dihadapi hari ini perlu dijadikan titik tolak untuk membina semula kekuatan BERSATU di Temerloh dengan semangat baharu dan iltizam yang lebih kukuh.
“Saya yakin mereka yang benar-benar ikhlas berjuang akan terus bersama parti walau apa juga cabaran yang mendatang kerana kesetiaan kepada perjuangan adalah ukuran sebenar kepimpinan, bukannya kesetiaan kepada individu,” katanya.-SAHIH
