51 saman, 10 motosikal disita dalam Op Motosikal di Jerantut
51 saman, 10 motosikal disita dalam Op Motosikal di Jerantut
JERANTUT – Sebanyak 51 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam Op Motosikal yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Jerantut di Kilometer 3, Jalan Jerantut-Maran, berhadapan Persimpangan Tok Gajah dan Persimpangan Taman Saujana Idaman, awal pagi Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superitendan Arshad AYob berkata, operasi yang berlangsung dari jam 12.01 tengah malam hingga 5.30 pagi pada 24 Mei itu melibatkan 13 pegawai dan anggota polis daripada BSPTD Jerantut, Bahagian Ketenteraman Awam, Balai Polis Jerantut, Balai Polis Kuala Tembeling dan Balai Polis Batu Balai.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan trafik dilakukan oleh penunggang motosikal termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, penggunaan aksesori tidak dibenarkan, kesalahan plat lesen, pengubahsuaian ekzos, tidak memiliki lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 30 buah motosikal telah diperiksa selain semakan ke atas 11 kenderaan dan 11 individu. Bagaimanapun, tiada rekod jenayah atau kenderaan curi dikesan,” katanya melalui kenyataan media.
Menurutnya, dalam operasi sama, polis turut menyita 10 motosikal, dengan sembilan daripadanya disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala sebuah lagi di bawah Seksyen 108(3)(f) akta yang sama.
Keadaan cuaca sepanjang operasi adalah baik dan aliran trafik di daerah ini dilaporkan lancar serta terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Polis menegaskan operasi penguatkuasaan trafik akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang, membanteras aktiviti lumba haram serta meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di daerah Jerantut.- SAHIH.
