Bekalan elektrik tiba menjelang Aidiladha, penantian 13 tahun keluarga Kuala Sat akhirnya berakhir
Bekalan elektrik tiba menjelang Aidiladha, penantian 13 tahun keluarga Kuala Sat akhirnya berakhir
JERANTUT – Sambutan Aidiladha tahun ini membawa sinar baharu buat sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling apabila penantian mereka selama 13 tahun untuk menikmati bekalan elektrik akhirnya bakal berakhir.
Kediaman keluarga Muhammad Ramadhan Abd Hamid, 30, kini berada pada peringkat akhir penyambungan bekalan elektrik selepas kira-kira 30 batang tiang elektrik siap dipasang oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menyalurkan kemudahan tersebut ke rumah mereka.
Selain pemasangan tiang elektrik, kerja pendawaian di dalam rumah turut selesai dilaksanakan dengan kos dianggarkan sekitar RM2,000 yang melibatkan tiga poin soket dan lapan poin lampu. Bekalan elektrik dijangka mula digunakan sebelum sambutan Aidiladha yang diraikan esok.
Ramadhan yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan berkata, kemudahan itu merupakan hadiah paling bermakna buat keluarganya selepas lebih sedekad hidup tanpa bekalan elektrik.
Menurutnya, beliau amat bersyukur apabila masalah yang dihadapi keluarganya mendapat perhatian Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Pada mulanya saya hanya mahu mengadu nasib dan memohon bantuan agar keluarga kami dapat menikmati bekalan elektrik seperti orang lain. Alhamdulillah, hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya sanggup mengetepikan perasaan malu dan bimbang untuk bertemu baginda kerana keutamaan saya adalah memastikan keluarga mendapat kemudahan asas yang lebih selesa,” katanya.
Ramadhan berkata, pembinaan rumah di atas tanah kerajaan menjadi antara faktor kediaman mereka tidak dapat menerima bekalan elektrik sebelum ini.
Sepanjang tempoh 13 tahun itu, beliau bersama isteri, Nur Atikah Malek, 32, dan anak lelaki mereka yang berusia lima tahun terpaksa hidup tanpa pelbagai kemudahan asas seperti televisyen, peti sejuk dan peralatan elektrik lain.
Nur Atikah berkata, beliau masih mengingati detik menunggu di tepi jalan untuk mendapatkan perhatian Sultan Pahang bagi menyampaikan masalah yang dihadapi keluarga mereka.
“Alhamdulillah, Aidiladha kali ini membawa kegembiraan yang tidak pernah kami bayangkan. Kini kami boleh menyambut hari raya dengan lebih selesa,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini mereka hanya bergantung kepada bateri lori untuk menerangi rumah pada waktu malam, manakala pendapatan daripada warung kecil yang diusahakannya di hadapan rumah hanya sekitar RM200 sebulan.
Kehadiran bekalan elektrik itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada keluarga berkenaan, malah menjadi simbol harapan dan permulaan baharu selepas lebih satu dekad hidup dalam serba kekurangan.-SAHIH.
