KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menyumbang RM1 juta daripada wang peribadinya bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda yang dikenakan sebagai syarat pengampunan bersyarat.
Menurut sumber, sumbangan Ahmad Zahid itu dipercayai antara jumlah terbesar diberikan secara individu setakat ini, selain sebagai tanda solidariti terhadap bekas Presiden UMNO berkenaan.
Sumber sama mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut menyumbang RM500,000 bagi tujuan sama.
“Mereka pemimpin UMNO berjiwa besar, sanggup korbankan wang ringgit demi Bossku ditahan di rumah,” kata sumber berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Ahmad Zahid atau Muhamad Akmal yang mengesahkan jumlah sumbangan peribadi masing-masing.
UMNO sebelum ini mengumumkan pelancaran kutipan dana secara sukarela dalam kalangan kepemimpinan, ahli, penyokong parti serta orang ramai bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta. Ahmad Zahid berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi undang-undang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Sabtu memaklumkan Tabung Solidariti Najib Razak sudah mengumpul RM1 juta setakat jam 9.30 pagi, sehari selepas kutipan dilancarkan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antaranya kepada pembayaran denda RM50 juta.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lori muatan tandan sawit terbalik merintangi jalan Bukit Atap, berjaya dialihkan selepas hampir 20 jam.
JERANTUT: Laluan dari Jerantut ke Kuala Tembeling berdekatan Bukit Atap dekat sini tidak boleh dilalui kenderaan hampir 20 jam apabila sebuah lori muatan tandan sawit terbalik lalu merintangi jalan akibat hilang kawalan dan jalan licin pada pukul 12.05 pagi semalam.
Pengguna laluan itu, Abdul Samad Sulaiman, 57 tahun, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bandar Jerantut terpaksa menggunakan laluan pintas dj mawasan berdekatan berdekatan kira-kira jam 7.00 pagi semalan.
Katanya, kelihatan puluhan kenderaan dari arah Jerantut dan Kuala Tembeling tidak dapat melalui kawasan kemalangan.
“Setiba di tempat kejadian pagi semalam, sebuah lori muatan tandan sawit terbalik melintang jalan Bukit Atap berdekatan Kuala Tembeling, dan buah sawit berselerak di atas jalan.
“Mujur ada laluan pintas yang hanya boleh dilalui kenderaan ringan melalui Kampung Kuala Retang, manakala kenderaan lain terpaksa berpatah balik mencari laluan alternatif lain,”katanya metika ditemui.
Katanya, kenderaan berat dari Lipis terpaksa berpatah balik, mengguna laluan Kamlung Gemunchor-Felda Padang Piol-Jerantuti.
Katanya, kejadian itu merupakan kali ketiga minggu ini membabitkan kenderaan berat menggelongsor ke belakang ketika mendaki Bukit Atap dan yang terbalik berikutan cuaca hujan dan permukaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, anggota Balai Polis Kuala Tembeling dikerahkan ke tempat kejadian apabila mendapat laporan kemalangan itu bagi penugasan kawalan lalu lintas.
“Aliran kenderaan ringan serta merta turut dilencongkan melalui jalan Kampung Kuala Retang sebagai laluan alternatif dari bandar Jerantut menuju ke Lipis.
“Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut,” katanya.
Katanya, kerja mengalih kenderaan berat itu dan pembersihan jalan di lokasi selesai kira-kira jam 8.00 malam tadi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, terutama ketika melalui laluan berbukit tersebut yang permukaan licin lebih lagi pada waktu hujan.l,”katanya-Sahih.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bera: Antara penguatkuasaan, hutan simpan dan suara Orang Asli
ISU yang berlaku di Tasek Bera pada 15 September lalu tidak sepatutnya dilihat sekadar melalui rakaman pertelingkahan, sekatan atau tangkapan.
Lima individu dipercayai Orang Asli, terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita ditahan ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera selepas didakwa menghalang pasukan penguat kuasa menjalankan tugas.
Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan fungsi awam.
Jika benar berlaku kesalahan, undang-undang perlu berjalan. Penguat kuasa mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan dan tiada sesiapa wajar mengambil undang-undang ke tangan sendiri.
Namun pada pandangan penulis, tangkapan itu tidak seharusnya menutup satu persoalan lebih besar — apakah sebenarnya yang dipertikaikan oleh masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan?
Tasek Bera bukan sekadar sebuah hutan simpan atau kawasan pemuliharaan di atas peta.
Ia adalah Tapak Ramsar berkepentingan antarabangsa dan pada masa sama kawasan yang cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat Orang Asli Semelai sejak sekian lama.
Sebab itu apabila timbul pertikaian membabitkan tanah di kawasan seperti ini, penyelesaiannya tidak boleh sekadar terhenti kepada siapa mempunyai kuasa memasuki kawasan berkenaan atau siapa menghalang operasi.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab melindungi hutan.
Masyarakat Orang Asli pula mempunyai sejarah, kehidupan, budaya dan hubungan dengan tanah yang perlu didengar serta diteliti berdasarkan fakta dan undang-undang.
Istilah “tanah adat” sendiri kini menjadi perbahasan.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini mengingatkan bahawa Akta Orang Asli 1954 tidak memperuntukkan kategori tanah bernama tanah adat dan setiap tuntutan perlu dilihat berdasarkan status tanah, sempadan, sejarah pendudukan serta fakta di lapangan.
Titah itu penting.
Tidak seharusnya sesuatu kawasan terus dianggap menjadi hak seseorang hanya kerana pernah dimasuki atau digunakan.
Tetapi pada masa sama, kedudukan undang-undang mengenai hak Orang Asli juga tidak boleh dibaca daripada Akta Orang Asli semata-mata.
Beberapa keputusan mahkamah di negara ini sebelum ini mengiktiraf hak masyarakat Orang Asli terhadap tanah yang dapat dibuktikan diduduki dan digunakan secara tradisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Di sinilah perkara ini memerlukan penjelasan, bukan emosi.
Pada 2018, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pernah menyatakan di Dewan Undangan Negeri bahawa istilah tanah adat tidak terpakai di Pahang.
Setahun kemudian ketika berada di Pos Iskandar, Bera, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sedang mengambil langkah mewartakan ribuan hektar Tanah Rizab Orang Asli dan menegaskan kebajikan masyarakat berkenaan terus diberi perhatian.
Maka dalam isu terbaru ini, kerajaan negeri mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan selengkapnya.
Tunjukkan peta kawasan yang terlibat.
Nyatakan sempadan Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera yang menjadi lokasi operasi.
Jelaskan jenis pencerobohan yang dikatakan berlaku, bila ia bermula, berapa keluasan terlibat dan siapa sebenarnya yang meneroka kawasan berkenaan.
Lebih penting, jelaskan sama ada terdapat pertindihan dengan kawasan yang didakwa telah digunakan masyarakat Semelai secara turun-temurun dan apakah rekod JAKOA mengenai kawasan tersebut.
Dalam masa sama, pihak yang mewakili masyarakat Orang Asli juga perlu tampil dengan fakta.
Jika kawasan berkenaan benar-benar dituntut berdasarkan sejarah pendudukan dan penggunaan tradisi, kemukakan rekod, peta, sejarah penempatan serta bukti berkaitan melalui saluran yang sewajarnya.
Kita tidak mahu pihak luar mengambil kesempatan atas nama masyarakat Orang Asli. Kita juga tidak mahu masyarakat Orang Asli yang benar-benar mempunyai kepentingan terhadap tanah berkenaan hilang suara hanya kerana keseluruhan isu dilabel sebagai “pencerobohan”.
Lima tangkapan semalam boleh disiasat mengikut undang-undang.
Tetapi pertikaian mengenai tanah tidak selesai dengan gari.
Ia memerlukan fakta, sempadan yang jelas, pendengaran kedua-dua pihak dan akhirnya keberanian mencari penyelesaian yang adil.
Kerana dalam isu sebegini, hutan perlu dipelihara, undang-undang perlu dihormati — dan suara masyarakat yang sudah sekian lama hidup bersama hutan juga tidak boleh diketepikan.-SAHIH
GAMBAR IHSAN :PDRM BERA
#kw Tasek Bera, Orang Asli Semelai, tanah Orang Asli, Pahang
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penunggang motosikal maut, tiga lagi lari selepas kemalangan
BENTONG – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Mempaga-Sertik, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Fazlizal Abdul Samad, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan yang membabitkan sebuah Perodua Myvi, Honda HR-V dan motosikal Modenas Versys yang ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati Honda HR-V dan motosikal berkenaan dalam perjalanan dari arah Sertik menuju Mempaga.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki lorong perjalanan Honda HR-V dan motosikal terbabit.
“Pemandu Honda HR-V cuba mengelak ke kiri, namun pelanggaran berlaku dengan Myvi pada bahagian sisi kanan sebelum motosikal yang berada di belakang turut dilanggar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemandu Honda HR-V, lelaki tempatan berusia 41 tahun, tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, pemandu dan dua penumpang Myvi dipercayai meninggalkan kenderaan itu dan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.
“Polis sedang giat mengesan dan mengenal pasti pemandu serta dua penumpang terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zaiham turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan menyalurkan maklumat terus kepada polis bagi membantu siasatan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Polis KL perlu tangkas hadapi jenayah era teknologi
KUALA LUMPUR: Perubahan corak jenayah yang semakin kompleks menuntut warga Polis Kuala Lumpur bergerak lebih pantas dengan memanfaatkan teknologi, analitik data serta perkongsian maklumat secara optimum.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, langkah proaktif itu penting memandangkan teknologi semakin canggih, bentuk jenayah terus berkembang dan jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan kepolisan semakin tinggi.
Menurutnya, setiap jabatan dan daerah di bawah Kontinjen Kuala Lumpur perlu sentiasa menilai keberkesanan strategi serta pendekatan yang digunakan bagi memastikan keupayaan pasukan dalam mencegah dan membanteras jenayah terus dipertingkat.
“Saya mahu setiap jabatan dan daerah terus menilai keberkesanan strategi atau pendekatan yang digunakan. Kenal pasti kelemahan, perbaiki kekurangan dan perkukuhkan perkara yang boleh menunjukkan hasil yang baik.
“Dalam melaksanakan tugas, kita hendaklah mengutamakan aspek kepantasan, ketepatan, profesionalisme dan keberkesanan.
“Pada masa sama, penggunaan teknologi, analisis data dan perkongsian maklumat hendaklah dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan keupayaan pasukan dalam mencegah dan membanteras jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Fadil berkata, integriti, disiplin dan profesionalisme perlu sentiasa menjadi asas utama dalam setiap pelaksanaan tugas bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus dipelihara.
Mengulas tahap keselamatan negara, beliau berkata Malaysia berada pada tahap sangat baik berdasarkan peningkatan kedudukan dalam indeks global termasuk berada di tangga ke-12 Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 dan tangga ke-57 Indeks Keganasan Global (GTI) 2024.
Beliau turut menyeru seluruh warga Polis Kuala Lumpur memperkukuh semangat kerja berpasukan serta sinergi antara jabatan supaya imej PDRM terus dihormati di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pada perhimpunan sama, beliau menyampaikan Surat Penghargaan kepada pegawai dan anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang selain meraikan persaraan Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur, SAC Datuk Zulkifli Arin selepas lebih 39 tahun berkhidmat dalam pasukan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AWL Agri kekal jadikan Malaysia sumber utama minyak sawit
NEW DELHI: AWL Agri Business Ltd yang juga pengimport minyak sawit terbesar India akan terus menjadikan Malaysia sebagai antara sumber utama bekalan komoditi itu bagi memenuhi keperluan pasarannya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shrikant Kanhere berkata, syarikat berkenaan mengimport hampir 1.5 juta tan minyak sawit setiap tahun dengan kira-kira 70 peratus daripadanya berasal dari Malaysia.
Menurutnya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan perniagaan secara satu dengan satu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, Sabtu.
“Kami mengimport hampir 1.5 juta tan minyak sawit setahun dan sebahagian besarnya datang dari Malaysia, iaitu hampir 70 peratus daripada keseluruhan import minyak sawit kami,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan berkenaan.
Shrikant berkata, minyak sawit yang diimport syarikat itu dibawa masuk melalui beberapa pelabuhan utama di bahagian timur, barat dan selatan India termasuk Haldia, Mundra, Kandla, Kakinada dan Mangalore.
Beliau berkata, setakat ini tidak terdapat isu ketara berkaitan kualiti minyak sawit mentah (CPO) yang diimport dari Malaysia.
Katanya, India menggunakan dianggarkan antara 25 juta hingga 26 juta tan minyak makan setiap tahun dengan minyak sawit kekal menjadi antara komponen utama selain minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.
Dalam pada itu, AWL Agri turut melihat potensi memperluaskan eksport produk pengguna berjenama ke pasaran Malaysia secara berperingkat.
Syarikat itu ketika ini mengeksport beras basmati di bawah jenama Fortune serta sejumlah kecil tepung gandum ke Malaysia dan bercadang meningkatkan jumlah berkenaan dari semasa ke semasa.
Shrikant berkata, AWL Agri tidak mempunyai usaha sama di Malaysia ketika ini dan semua eksport dilakukan secara langsung.
Katanya, pertemuan bersama Anwar bukan bertujuan mendapatkan kelulusan bagi memperluaskan eksport semata-mata, sebaliknya memberi penerangan mengenai operasi syarikat serta prospek jangka panjang pasaran minyak makan India.
AWL Agri yang beribu pejabat di Ahmedabad, Gujarat adalah antara empat syarikat yang mengadakan pertemuan perniagaan secara satu dengan satu bersama Anwar pada Sabtu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw AWL Agri Business Ltd, minyak sawit, Malaysia, India, Anwar Ibrahim, Shrikant Kanhere, CPO
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Wanita maut motosikal terbabas langgar penghadang jalan
LIPIS – Seorang wanita berusia 30 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 58, Jalan Lipis-Merapoh, Bukit Tujuh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 11.20 pagi ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dari arah Kampung Sungai Mun menuju ke Chegar Perah.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.
“Mangsa kemudian terjatuh ke dalam longkang dan mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Mun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.
“Pengguna jalan raya juga perlu mengutamakan keselamatan terutama ketika melalui jalan yang berselekoh dan berbukit,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Anak Orang Asli buktikan TVET mampu ubah kehidupan
JERANTUT – Latar belakang keluarga dan asal usul bukan penghalang buat anak Orang Asli Suku Kaum Jahut mencipta kejayaan dalam bidang akuakultur menerusi laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Isah a/p Yusof, 23, dari Kampung Berdut, Kuala Krau, Temerloh, membuktikan pendidikan dan kemahiran mampu membuka peluang lebih luas apabila berjaya menamatkan pengajian Sijil Teknologi Akuakultur di Kolej Komuniti Jerantut.
Anak sulung daripada empat beradik itu yang berasal daripada keluarga sederhana, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89 selain menerima Anugerah Pengarah selama empat semester berturut-turut.
Kecemerlangannya turut melayakkan beliau dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Unit Sijil Teknologi Akuakultur dan Tokoh Sukarelawan pada Majlis Apresiasi Pelajar 2025.
Selain akademik, Isah aktif dalam kepimpinan dan kegiatan kemasyarakatan, termasuk sebagai Naib Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (Kebajikan), Presiden Sekretariat Rukun Negara serta Pengerusi Kelab Kesenian dan Kebudayaan.
Beliau turut menyertai program khidmat komuniti di pelbagai peringkat selain mewakili Kolej Komuniti Jerantut ke Tinsulanonda Fisheries College, Songkhla, Thailand.
Kini, Isah melangkah ke alam pekerjaan sebagai Pembantu Juruteknik Akuakultur di Paya Besar Aquaculture Sdn Bhd.
“Saya datang dari perkampungan Orang Asli hingga memasuki industri akuakultur. TVET mampu menjadi platform penting untuk golongan muda membina masa depan tanpa mengira latar belakang.
“Sewajarnya golongan muda mencari jalan memajukan diri, khususnya melalui TVET yang mampu mengubah kehidupan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Photo : German tourist, Hasselbusch Joerg, 58, dies while hiking in Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS – A 58-year-old German man died after falling into a hole while hiking along Jungle Trail 10 in Tanah Rata here yesterday.
The victim, Hasselbusch Joerg, 58, reportedly fell into a hole, believed to be a former water channel, while hiking with his partner, Hasselbusch Marina, 57.
Assistant Director of the Fire and Rescue Operations Division for the Pahang Fire and Rescue Department (JBPM), Mohd Salahuddin Isa, stated that they received an emergency call at 12:04 PM, prompting the deployment of a team from the Cameron Highlands Fire and Rescue Station (BBP) to the scene.
He said the fire and rescue team arrived at the foot of the hill at 12:35 PM before trekking for approximately 45 minutes to reach the incident site, located about seven kilometers from the base.
“Initial checks revealed the male victim was unconscious. Operations personnel then brought the victim down to the foot of the hill using a Sked stretcher before handing him over to the Ministry of Health (MOH) for official confirmation.
“The victim’s partner, Marina, 57, who was hiking with him, was reported safe,” he said.
Mohd Salahuddin clarified that the incident was not caused by a landslide—as initially reported via the 999 emergency line—but rather by the victim falling into a hole that was formerly a water channel.
The operation involved personnel from the Cameron Highlands BBP, the Royal Malaysia Police (PDRM), the Forestry Department, the Malaysia Civil Defence Force (APM), and the MOH.
The operation concluded at 4:43 PM. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pelancong Jerman maut ketika hiking di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS – Seorang lelaki warga Jerman berusia 58 tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang ketika melakukan aktiviti mendaki di Jungle Trail 10, Tanah Rata, di sini, hari ini.
Mangsa yang maut,Hasselbusch Joerg, 58, dilaporkan terjatuh ke dalam lubang yang dipercayai bekas laluan air ketika melakukan aktiviti hiking bersama pasangannya, Hasselbusch Marina, 57.
Mangsa, Hasselbusch Joerg, 58, dilaporkan terjatuh ke dalam lubang yang dipercayai bekas laluan air ketika melakukan aktiviti hiking bersama pasangannya, Hasselbusch Marina, 57.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba di kaki bukit pada jam 12.35 tengah hari sebelum meneruskan perjalanan kira-kira 45 minit untuk sampai ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kaki bukit.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa lelaki tidak sedarkan diri. Anggota operasi kemudian membawa mangsa turun ke kaki gunung menggunakan Sked stretcher sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pengesahan.
“Pasangan mangsa, Marina, 57, yang turut melakukan aktiviti hiking bersamanya dilaporkan selamat,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, kejadian itu bukan berpunca daripada tanah runtuh seperti maklumat awal diterima menerusi talian kecemasan 999, sebaliknya mangsa terjatuh ke dalam lubang bekas laluan air.
Operasi turut membabitkan anggota BBP Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.
Operasi ditamatkan pada jam 4.43 petang.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!