Pesara guru ubah hobi jadi lubuk rezeki
Pesara guru ubah hobi jadi lubuk rezeki
MARAN – Hanya bermula dengan melihat seorang penduduk menghasilkan sarung dan hulu parang ketika masih bergelar guru, siapa sangka minat itu akhirnya menjadi sumber pendapatan selepas bersara.
Itulah kisah pesara guru, Khalib Samah, 69, yang kini menghabiskan masa lapang menghasilkan sarung dan hulu parang, keris serta pisau kecil mengikut tempahan pelanggan.

Antara 250 sarung dan hulu parang serta pisau kecil, selain lebih 200 sarung dan hulu keris.
Khalib mula mempelajari kemahiran itu ketika mengajar di sebuah sekolah rendah di Kampung Ulu Cheka, Jerantut pada 1984 sebelum terus mengasah kemahirannya sehingga kini.
Katanya, ketika itu dia tertarik melihat seorang penduduk dikenali sebagai Awang menghasilkan pelbagai bentuk sarung dan hulu selepas waktu persekolahan.
“Saya belajar secara perlahan-lahan dan pada awalnya banyak melakukan kesilapan kerana kerja ini memerlukan ketelitian.
“Namun, saya tidak berputus asa dan terus mencuba sehingga mampu menghasilkan sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Rantau Perintis, Bandar Pusat Jengka, di sini.
Khalib berkata, selepas bersara sebagai guru kaunseling pada 2015, dia mempunyai lebih banyak masa untuk meneruskan hobi berkenaan yang kemudian mula mendapat tempahan pelanggan.
Menurutnya, pemilihan kayu menjadi antara aspek penting kerana selain kukuh, corak urat kayu turut memberikan nilai estetik pada hasil pertukangan.
“Antara kayu digunakan ialah jus, kemuning, sepetir, kenaung, cempedak, nangka, arang bunga dan batang kelapa.
“Kayu dilakar mengikut bentuk parang atau keris sebelum dipotong, ditebuk, dicantum, dicanai dan digosok sehingga licin sebelum disembur cat,” katanya.
Khalib berkata, sepanjang menghasilkan kraf itu, dia sudah menyiapkan kira-kira 250 sarung dan hulu parang serta pisau kecil, selain lebih 200 sarung dan hulu keris.
Katanya, sarung dan hulu parang dijual sekitar RM200, pisau kecil antara RM80 hingga RM100, manakala keris RM150.
“Hasil kraf ini dijual di pekan sehari dan turut dipromosikan menerusi Facebook serta TikTok.
“Kebanyakan pelanggan membelinya untuk koleksi, hiasan rumah atau kegunaan tertentu,” katanya.-SAHIH.
