Anugerah jadi amanah Rosyatina terus perkasa wanita
Anugerah jadi amanah Rosyatina terus perkasa wanita
JERANTUT: Lebih 25 tahun bergelumang dengan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan pemerkasaan wanita, Rosyatina Wahab terus mencipta satu lagi pencapaian apabila menerima Anugerah Wanita Hebat Negeri Pahang 2026 bagi kategori Wanita Inspirasi Pahang.
Pengiktirafan itu disampaikan sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2026 di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Kampus Jerantut, di sini, Jumaat lalu.
Rosyatina berkata, anugerah berkenaan bukan sekadar penghormatan terhadap dirinya, sebaliknya menjadi amanah dan pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan wanita, keluarga serta masyarakat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas pengiktirafan yang amat bermakna ini.
“Bagi saya, kejayaan seorang wanita bukan hanya diukur melalui pencapaian dirinya, tetapi juga manfaat yang dapat diberikan kepada keluarga, masyarakat dan negeri tercinta.

“Pengiktirafan ini menjadi amanah untuk saya terus berusaha, berkongsi inspirasi dan memberi sumbangan lebih bermakna pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, selain Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, atas sokongan berterusan terhadap agenda pembangunan wanita di negeri itu.
Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli, yang menurutnya sentiasa memberikan sokongan terhadap pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan di daerah berkenaan.
Pada sambutan itu, Rosyatina diumumkan sebagai penerima kategori Wanita Inspirasi Pahang, manakala pengiktirafan lain turut diberikan dalam kategori Organisasi Saksama Gender, NGO Prihatin Komuniti dan Usahawan Wanita Cemerlang.
Rosyatina yang juga usahawan wanita luar bandar aktif dalam pelbagai pertubuhan dan gerakan komuniti termasuk mengasaskan produk Bellanies serta terbabit dalam pembangunan usahawan wanita dan jaringan NGO di Temerloh.
Beliau juga mengendalikan program di Daerah Temerloh dan sekitar daerah lain Negeri Pahang dibawah syarikat milik beliau Semantan Indah Jaya Enterprise beliau juga Pengerusi DewanNita Pahang 2025/2028
Sebelum ini, beliau turut menerima Anugerah 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026 atas sumbangannya dalam pembangunan komuniti dan pemerkasaan wanita.
“Terima kasih kepada semua insan hebat di sekeliling saya yang tidak pernah berhenti memberi sokongan, doa dan semangat.
“Wanita berinspirasi, wanita beraspirasi, wanita terus memberi erti,” katanya.-SAHIH
