Ibarat ‘Sirih Pulang Ke Gagang’, Tokoh Korporat Bergabung Bersama IPD Jerantut Santuni Masyarakat
Foto : Ketua Pegawai Eksekutif Darvish Homecare merangkap Konsultan Guaman, Datuk Seri Johari George Abdullah
Ibarat ‘Sirih Pulang Ke Gagang’, Tokoh Korporat Bergabung Bersama IPD Jerantut Santuni Masyarakatmenyantuni Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Nor Azman Yusof.
JERANTUT – Pusat Jagaan Darvish (Darvish Homecare Centre) bersama dua firma guaman sedia menjalin kerjasama strategik menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Jerantut bagi membantu golongan asnaf dan kurang berkemampuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Darvish Homecare merangkap Konsultan Guaman, Datuk Seri Johari George Abdullah berkata, kunjungan hormat beliau ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut bertujuan mengeratkan silaturahim serta menzahirkan penghargaan kepada warga PDRM, khususnya Ketua Polis Daerah, Superintendent Nor Azman Yusof.
Menurut Johari George, maklumat PDRM diperlukan untuk mengenal pasti penerima yang tepat memandangkan anggota polis sentiasa beronda di lapangan dan mempunyai data komuniti yang telus.
“Jika mencari keluarga susah secara bersendirian, ia agak sukar. Namun dengan maklumat PDRM, bantuan dapat disalurkan secara terus dan efektif,” katanya di IPD Jerantut, kelmarin.
Pendekatan CSR berimpak tinggi ini pernah dilaksanakan di Kelantan, Perak, dan Kedah, merangkumi pembaikan atap bocor serta struktur kediaman rosak. Bantuan ini ditampung menerusi dana khas hasil kemenangan kes tuntutan insurans yang dikendalikannya.
Walaupun berdepan tohmahan pesaing industri, Johari George kekal komited memperjuangkan nasib golongan memerlukan. Beliau turut menubuhkan Pusat Jagaan Darvish di Kota Bharu untuk merawat serta menjaga mangsa kemalangan.

Sementara itu, Superintendan Nor Azman Yusof memuji keprihatinan Johari George sebagai anak watan Jerantut yang tidak melupakan asal usulnya. Beliau menyifatkan kepulangan tokoh korporat itu ibarat ‘sirih pulang ke gagang’ kerana kawasan IPD Jerantut merupakan tempat beliau bermain semasa kecil.
Menurut Nor Azman, Johari George sebelum ini turut menyumbang dari segi fasiliti dan aset untuk kemudahan warga kerja IPD Jerantut, sekali gus memantapkan kerjasama antara PDRM dan masyarakat.-SAHIH.
