Dagangan melonjak 74.7 peratus, Malaysia-Mesir meterai empat MoU
Dagangan melonjak 74.7 peratus, Malaysia-Mesir meterai empat MoU
PUTRAJAYA: Hubungan perdagangan Malaysia dan Mesir terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila melonjak 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Peningkatan itu turut disusuli pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) membabitkan bidang pemerkasaan wanita, pendidikan tinggi, pelancongan dan pelaburan bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.
Majlis pertukaran MoU berkenaan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi sempena lawatan negara dua hari pemimpin itu ke Malaysia, semalam.
Kerjasama berkenaan dijangka memberi dorongan baharu kepada usaha meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik selepas lebih enam dekad menjalin hubungan diplomatik.
Bagi MoU pemerkasaan wanita, Malaysia diwakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, manakala Mesir diwakili Menteri Luar, Kerjasama Antarabangsa dan Ekspatriat, Dr Badr Ahmed Mohamed Abdelatty.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula mewakili Malaysia bagi pertukaran MoU pendidikan tinggi bersama Abdelatty.
Kerjasama sektor pelancongan pula membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dengan wakil Mesir yang sama.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili Malaysia dalam pertukaran MoU antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Pihak Berkuasa Am Pelaburan dan Zon Bebas Mesir.
Mesir diwakili Menteri Pelaburan dan Perdagangan Luar, Dr Mohamed Farid Saleh.
Terdahulu, Anwar dan El-Sisi mengadakan pertemuan empat mata di Kompleks Seri Perdana sebelum mengetuai perbincangan dua hala mengenai perdagangan, pelaburan serta perkembangan serantau dan antarabangsa.
Rekod perdagangan bagi Januari hingga Ogos 2026 berjumlah RM3.49 bilion itu turut mengatasi nilai RM3.08 bilion yang dicatatkan sepanjang 2025.
Pada tahun lalu, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Afrika dengan eksport bernilai RM2.55 bilion dan import RM530 juta.
Malaysia dan Mesir menjalin hubungan diplomatik sejak 1959.
Lawatan El-Sisi atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu merupakan lawatan negara pertamanya ke Malaysia sejak menjadi Presiden Mesir pada Jun 2014.
Program lawatan turut menampilkan pameran model baharu Proton Saga dan Modenas bagi mengetengahkan industri automotif serta jenama tempatan.-SAHIH
#MalaysiaMesir #AnwarIbrahim #AbdelFattahElSisi #KerjasamaStrategik
