Agong kurnia darjah kebesaran kepada Presiden Mesir
Agong kurnia darjah kebesaran kepada Presiden Mesir
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi sempena lawatan negara pertama beliau ke Malaysia, semalam.
Pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara selepas Presiden Mesir berkenaan diberikan sambutan negara penuh istiadat ketenteraan.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan El-Sisi pada jam 10.08 pagi atas undangan Seri Paduka Baginda.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Istiadat Sambutan Negara di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan Malaysia dan Mesir oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten Mohd Fahmy Harun.
Istiadat diteruskan dengan tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja sebagai penghormatan kepada ketua negara berkenaan.
El-Sisi kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membabitkan tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Sultan Ibrahim seterusnya berkenan menerima menghadap Presiden Mesir itu bersama delegasinya sebelum menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.
Seri Paduka Baginda kemudian meraikan El-Sisi dan delegasi kerajaan Mesir dalam Majlis Santapan Negara di Dewan Santapan Utama.
Lawatan El-Sisi yang menjadi Presiden Mesir sejak 2014 itu turut mencatat sejarah sebagai kunjungan pertama seorang Presiden Mesir ke Malaysia selepas hampir tiga dekad.
Kunjungan terakhir dilakukan bekas Presiden Mesir, Mohamed Hosni Mubarak pada November 1997 ketika menghadiri Sidang Kemuncak G-15 di Kuala Lumpur.
Mubarak sebelum itu pernah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebagai Naib Presiden Mesir pada 1979.-SAHIH
#SultanIbrahim #PresidenMesir #IstanaNegara #HubunganMalaysiaMesir
