Ekonomi Malaysia terus kukuh, tumbuh 5.7 peratus
Ekonomi Malaysia terus kukuh, tumbuh 5.7 peratus
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus bagi separuh pertama tahun ini, sekali gus memberi keyakinan terhadap prospek ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu membuktikan usaha kerajaan memperkukuh ekonomi negara mula menunjukkan hasil positif.
Katanya, kerajaan turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara berada antara 4.8 hingga 5.3 peratus bagi keseluruhan 2026.
“Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, tahun ini kita sudah nampak usaha memperkukuh negara berjaya.
“Sehingga suku kedua, prestasi ekonomi kita mencapai 5.7 peratus dan insya-Allah unjuran kita antara 4.8 hingga 5.3 peratus untuk 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen, Jumaat lalu.
Amir Hamzah berkata, kerajaan akan terus memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan tekanan perniagaan.
Menurutnya, langkah itu termasuk meningkatkan kemudahan pembiayaan, bantuan tunai dan potongan cukai selepas mengambil kira maklum balas pelbagai pihak, khususnya sektor perniagaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bantuan kerajaan tidak hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah, sebaliknya turut memberi manfaat kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40).
Katanya, peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 menerusi Belanjawan 2027 adalah antara langkah mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Pelepasan cukai individu ini tidak berubah sejak 2010 dan kerajaan mengambil keputusan menyemak semula kadar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, golongan M40 turut menikmati manfaat menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dan diesel.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang layak, selain mengurangkan ketirisan akibat penyeludupan serta penggunaan oleh warga asing.
Katanya, kerajaan akan terus memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengetepikan mana-mana golongan.-SAHIH
#EkonomiMalaysia #Belanjawan2027 #AmirHamzahAzizan #M40
