Beli rumah pertama, siap boleh biayai perabot dan penyaman udara
Beli rumah pertama, siap boleh biayai perabot dan penyaman udara
KUALA LUMPUR: Golongan muda yang merancang membeli rumah pertama kini berpeluang menikmati kemudahan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus, termasuk kos pengubahsuaian dan pembelian kelengkapan kediaman.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kemudahan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) itu turut merangkumi pembelian perabot dan penyaman udara bagi membantu pembeli menyediakan kediaman lebih selesa.
Katanya, inisiatif berkenaan memberi manfaat besar terutama kepada pasangan muda yang merancang mendirikan rumah tangga dan memiliki kediaman sendiri.
“Ini memang satu inisiatif yang sangat-sangat membawa manfaat kepada pemuda-pemudi yang nak mendirikan rumah tangga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen, Jumaat lalu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan RM20 bilion kepada dana jaminan SJKP yang dijangka membantu 80,000 lagi pembeli rumah pertama tahun depan.
Nga berkata, setakat ini skim berkenaan sudah membantu lebih 100,000 pembeli rumah pertama memperoleh pembiayaan perumahan.
Menurutnya, kerajaan turut memberikan pengecualian penuh duti setem kepada pembeli rumah pertama bagi kediaman berharga RM500,000 ke bawah.
Katanya, pembelian rumah berharga sehingga RM750,000 pula layak menerima pengurangan duti setem sebanyak 50 peratus, tertakluk kepada kategori kelayakan, mulai 1 Januari 2027.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima peruntukan RM1.16 bilion bagi penyediaan dan penyelenggaraan perumahan awam termasuk RM157 juta untuk Program Perumahan Rakyat (PPR).
Peruntukan itu membolehkan kerja penyelenggaraan seperti penggantian lif, pembaikan bumbung bocor dan pengecatan bangunan dilaksanakan demi meningkatkan keselesaan penduduk.
Nga berkata, peruntukan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam turut ditingkatkan kepada RM80 juta, manakala RM100 juta disediakan bagi pembangunan Kampung Baru Cina.
“Secara kesimpulannya, ini jelas merupakan satu belanjawan yang berjiwa rakyat, bervisi jauh serta mampu terus mengangkat ekonomi negara dengan dua tujuan, iaitu mengangkat martabat negara dan mensejahterakan rakyat,” katanya.-SAHIH
#Belanjawan2027 #RumahPertama #SJKP #NgaKorMing
