Sidang terakhir DUN Sarawak, empat RUU jadi tumpuan
KUCHING: Empat Rang Undang-Undang (RUU) termasuk Belanjawan Sarawak 2027 bakal menjadi tumpuan pada persidangan terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi penggal semasa yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, persidangan berkenaan amat penting kerana menjadi sidang terakhir sebelum berakhirnya penggal pentadbiran semasa.
“Ini adalah persidangan DUN terakhir, jadi ia amat penting,” katanya pada sidang media prapersidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Petra Jaya, Jumaat lalu.
Menurutnya, antara RUU yang akan dibentangkan ialah RUU Perbekalan 2027 oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, RUU Perbekalan Tambahan 2026 pula akan dibentangkan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dua lagi ialah RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn serta RUU Hari Kelepasan Am (Pindaan) oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Mohamad Asfia berkata, pindaan berkaitan hari kelepasan am bertujuan menyelesaikan isu pertindihan cuti umum yang sebelum ini memerlukan pengeluaran pemberitahuan khas bagi menjelaskan tarikh cuti gantian.
“Apabila dua hari kelepasan am bertindih, kita perlu mengeluarkan pemberitahuan untuk menjelaskan perkara itu.
“Melalui pindaan ini, mekanisme penetapan tarikh cuti gantian akan diselaraskan tanpa perlu lagi mengeluarkan pemberitahuan setiap kali berlaku pertindihan,” katanya.
Sementara itu, pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak bertujuan memperkemas tadbir urus serta membolehkan penubuhan arkib peringatan bagi memelihara bahan berkaitan tokoh, warisan, budaya dan sejarah negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, persidangan kali ini turut menyaksikan pemilihan seorang senator baharu bagi menggantikan Senator Michael Mujah Lihan.
Katanya, pemilihan itu perlu dilaksanakan susulan tempoh perkhidmatan Michael Mujah yang akan berakhir pada 10 Disember 2026.-SAHIH
#DUNSarawak #BelanjawanSarawak2027 #MohamadAsfia #PersidanganDUN
