Bonus RM1,500, kenaikan pangkat suntik semangat penjawat awam
Bonus RM1,500, kenaikan pangkat suntik semangat penjawat awam
PENGUMUMAN Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,500 serta kenaikan pangkat membabitkan 12,000 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional memberi kelegaan kepada penjawat awam yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Rata-rata penjawat awam menyifatkan pengumuman menerusi Belanjawan 2027 itu sebagai penghargaan kerajaan terhadap sumbangan mereka, selain menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Penjawat awam, Mohd Amizan Md Yusof berkata, peluang kenaikan pangkat itu mampu mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan kakitangan kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

“Dalam konteks persaingan sihat, masing-masing akan bersaing untuk menjadi yang terbaik.
“Daripada situ juga akan berubah persepsi dan cara berfikir penjawat awam, bukan sekadar bekerja makan gaji, tetapi meningkatkan prestasi untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Seorang lagi penjawat awam, S Kamalesswari menyifatkan pengumuman berkenaan cukup bermakna kerana membuktikan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup kakitangan sektor awam.
“Ini adalah pengumuman yang cukup berharga dan kami sebagai penjawat awam sangat menghargai usaha kerajaan MADANI yang bertungkus-lumus menaikkan taraf hidup penjawat awam,” katanya.
Bagi Ikram Faharol Razi pula, Belanjawan 2027 dilihat lebih seimbang kerana bukan sahaja memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam, malah turut merancakkan ekonomi tempatan.

“Bajet kali ini lebih seimbang, lebih merancakkan semula ekonomi tempatan dan juga kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Ikmal Syah Jusoh berkata, peningkatan bantuan kewangan berbanding tahun sebelumnya memberi nilai tambah kepada penjawat awam, khususnya apabila sering timbul perbandingan antara ganjaran diterima pekerja sektor kerajaan dan swasta.
K Yuvarany pula melahirkan rasa syukur kerana kebajikan serta pembangunan kerjaya penjawat awam terus diberikan perhatian dalam belanjawan berkenaan.
“Saya amat gembira dan bersyukur kerana perkara ini dijadikan antara faktor utama dalam belanjawan.
“Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran kami, tetapi juga satu penghargaan kepada semua pegawai yang berkhidmat,” katanya.-SAHIH
#Belanjawan2027 #PenjawatAwam #BantuanKhasKewangan #KenaikanPangkat
