Sindiket seludup guna jet peribadi, bayar AS$49,500 untuk penerbangan
Sindiket seludup guna jet peribadi, bayar AS$49,500 untuk penerbangan
KUALA LUMPUR: Seorang warga Filipina dipercayai menjadi dalang sindiket penyeludupan yang menggunakan perkhidmatan jet persendirian dari Laos ke Manila, Filipina dengan barangan dibawa diisytiharkan sebagai produk vape.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu terbabit dipercayai membuat tempahan penerbangan berkenaan dengan bayaran sebanyak AS$49,500.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil siasatan di Subang serta kerjasama pihak berkuasa Laos.
“Berdasarkan siasatan awal, warga Filipina itu dipercayai kali pertama menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan selepas mendapati ia menawarkan harga paling rendah bagi laluan penerbangan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Hussein berkata, syarikat penerbangan persendirian yang dikenal pasti itu dimiliki empat individu membabitkan dua juruterbang warga Malaysia dan dua warga Singapura.
Katanya, syarikat terbabit mula beroperasi sejak Julai 2026 dan sudah menerima sembilan tempahan penerbangan bagi pelbagai tujuan.
“Mereka menawarkan perkhidmatan penerbangan persendirian sama ada untuk golongan kenamaan (VVIP), membawa barangan atau tujuan perubatan,” katanya.

Menurutnya, syarikat berkenaan turut mempunyai dua syarikat berdaftar di Kemboja, selain menjalankan operasi di Malaysia dengan dua jet ditempatkan di Subang.
Sementara itu, Hussein berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai warga Filipina terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya, maklumat mengenai individu itu sudah dikongsi dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) bagi membantu usaha mengesannya.
Mengulas penahanan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik syarikat penerbangan berkenaan bersama tiga individu lain di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Rabu lalu, beliau berkata, kesemua mereka sudah dibebaskan selepas keterangan direkodkan.
Menurutnya, PDRM masih menunggu persetujuan dan pelepasan pihak berkuasa Laos sebelum menghantar pegawai ke negara itu bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada rakyat Malaysia yang ditahan.-SAHIH
#JSJNBukitAman #HusseinOmarKhan #JetPersendirian #SindiketPenyeludupan
