Lebih 169,000 MyKad baharu dikeluarkan dalam tempoh 20 hari
Lebih 169,000 MyKad baharu dikeluarkan dalam tempoh 20 hari
KUALA TERENGGANU: Sambutan terhadap MyKad Generasi Baharu terus mendapat perhatian apabila sebanyak 169,346 keping kad pengenalan itu dikeluarkan di seluruh negara dalam tempoh 17 September hingga 6 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, Wilayah Persekutuan mencatatkan pengeluaran tertinggi dengan 20,592 keping, diikuti Johor, Sarawak, Sabah dan Selangor.
Katanya, sambutan menggalakkan itu didorong peningkatan ciri keselamatan MyKad Generasi Baharu daripada 23 kepada 53 ciri keselamatan berteknologi tinggi.
Menurutnya, penambahbaikan berkenaan mampu meningkatkan tahap keselamatan dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia, selain mengekang kegiatan pemalsuan identiti.
“Untuk seluruh rakyat Malaysia, kita sudah bersedia memberikan perkhidmatan secara penuh bermula minggu ini, insya-Allah, kecuali pejabat cetakan di Langkawi.
“Sebelum ini, kita sudah memaklumkan bahawa tiada keperluan mendesak untuk menukar MyKad kepada generasi baharu sekiranya kad sedia ada tidak rosak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program MEKAR Komuniti di sini, Khamis lalu.
Badrul Hisham berkata, orang ramai tidak perlu terburu-buru menggantikan MyKad sedia ada semata-mata mahu mendapatkan versi terbaharu itu, selagi kad berkenaan masih berada dalam keadaan baik.
Sementara itu, beliau berkata, JPN turut mempergiatkan usaha mendekati masyarakat menerusi pelaksanaan program MEKAR Komuniti bagi memastikan perkhidmatan pendaftaran dapat dinikmati semua lapisan rakyat.
Katanya, sebanyak 25 program MEKAR dilaksanakan di Terengganu sepanjang tahun ini bagi memudahkan urusan mendapatkan MyKad, khususnya golongan yang berdepan kesukaran hadir sendiri ke pejabat JPN.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, pesakit kronik, pesakit mental dan warga emas.
Inisiatif itu bertujuan memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada mendapatkan dokumen pengenalan diri melalui perkhidmatan yang disediakan JPN.-SAHIH
#MyKadGenerasiBaharu #JPN #BadrulHishamAlias #MEKARKomuniti
