Kayuh basikal 30 minit setiap hari, Jahara halau kesunyian
Kayuh basikal 30 minit setiap hari, Jahara halau kesunyian
KUALA KANGSAR: Biarpun sudah berusia 75 tahun, Jahara Hashim tetap gagah mengayuh basikal kira-kira 30 minit setiap hari demi mengisi masa lapang dan mengelakkan diri daripada dibelenggu kesunyian.
Warga emas dari Manong itu menjadikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di pekan berkenaan sebagai tempat bertemu rakan sebaya dan melakukan pelbagai aktiviti sejak lima tahun lalu.
Selepas kehilangan suami 22 tahun lalu, Jahara memilih untuk terus menjalani kehidupan berdikari walaupun beberapa kali diajak tinggal bersama anak-anak.

“Mak cik pergi ke PAWE kadang pukul 9, ada aktiviti pergi… tanam sayur, hilang tension kita.
“Bersembang ke apa, jadi takde boring. Pukul 1, 2 PAWE tutup saya baliklah,” katanya.
Namun, tidak semua individu yang tinggal bersendirian bernasib baik seperti Jahara apabila terdapat kes kematian tanpa disedari sehingga jasad mangsa ditemukan beberapa hari kemudian.
Fenomena dikenali sebagai ‘kodokushi’ atau kematian sunyi di Jepun itu turut mendapat perhatian di Malaysia.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, sebanyak 15 kes individu ditemukan meninggal dunia bersendirian di rumah direkodkan di negeri itu sejak 2021 hingga Julai lalu.
Katanya, kejadian itu bukan hanya membabitkan warga emas, sebaliknya turut berlaku dalam kalangan individu berusia 30-an dan 40-an.

“Ada yang suka duduk sendiri, ada yang menjalani hubungan jarak jauh (PJJ) dan ada juga disebabkan penyakit seperti serangan jantung.
“Kes sebegini tidak semestinya membabitkan warga emas,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan mangsa ditemukan ketika jasad sudah mula mereput dan berbau, malah terdapat kes dipercayai meninggal dunia lebih seminggu sebelum ditemukan.
Sementara itu, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak, Jamilah Zakaria berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkasakan golongan warga emas menerusi kira-kira 23 PAWE di seluruh Perak.
Katanya, antara inisiatif dilaksanakan ialah program We-Fit yang memberi penekanan terhadap pemakanan sihat, kecergasan dan pemantauan tahap kesihatan warga emas.

Program itu turut merangkumi saringan komposisi badan bagi mengenal pasti risiko sarkopenia, iaitu kehilangan jisim dan kekuatan otot supaya langkah pencegahan awal dapat diambil.-SAHIH
#Kw: Warga emas, PAWE, kematian sunyi, JBPM Perak.
