Putera Mahkota Bahrain tiba, saksikan F1 di Sepang
Putera Mahkota Bahrain tiba, saksikan F1 di Sepang
SEPANG: Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa berangkat tiba di Malaysia, Jumaat, bagi lawatan khas empat hari sempena Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pesawat khas membawa Putera Salman mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 12 tengah hari.
Keberangkatan tiba baginda disambut Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Duta Besar Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Al Manea.
Sebaik tiba, Putera Salman berjalan melintasi kawalan kehormatan membabitkan 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Muhamad Thabrani Mohamad Sharudin.
SIC dipilih sebagai lokasi sementara F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober, sekali gus menyaksikan perlumbaan F1 kembali ke Sepang selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.
Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada Julai lalu mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan itu susulan persetujuan bersama kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan berkenaan membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan asalnya tidak dapat diteruskan berikutan situasi geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menganjurkan GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017.
Perlumbaan utama F1 GP Gulf Air Bahrain dijadual berlangsung Ahad membabitkan 56 pusingan di litar sepanjang 5.543 kilometer itu.-SAHIH
#kw: Putera Salman, Bahrain, F1, Sepang
