3,072 notis dikeluarkan terhadap 1,346 pemandu warga asing
3,072 notis dikeluarkan terhadap 1,346 pemandu warga asing
JOHOR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 3,072 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya terhadap 1,346 warga asing menerusi Operasi Khas Pemandu Warga Asing sejak 1 Jun lalu hingga kini.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, jumlah itu membabitkan 447 warga Pakistan, Bangladesh (251), Singapura (223), Indonesia (180) dan Myanmar (150).
Menurutnya, notis turut dikeluarkan terhadap 21 warga Vietnam, India (19), Nepal (lima), Kemboja (dua) serta 48 individu dari negara lain.
Katanya, siasatan mendapati kira-kira 70 peratus kenderaan yang ditunggang atau dipandu warga asing terbabit adalah milik mereka sendiri.
Bagaimanapun, kebanyakan kenderaan berkenaan dibeli secara pindah tangan tanpa melalui proses pertukaran hak milik yang sah dengan JPJ.
“Antara kenderaan yang disita ialah 347 motosikal, 69 kereta serta 24 kenderaan persendirian lain,” katanya.
Zulkarnain berkata, secara keseluruhan sebanyak 10,580 kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan dengan 4,565 kesalahan dikesan.
Katanya, kesalahan tidak memiliki lesen memandu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 788 kes.
“Daripada kesalahan yang dikesan, antara kesalahan paling tinggi ialah tiada lesen memandu iaitu 788 kes, selain cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans serta kesalahan membabitkan pemilik kenderaan sebanyak 449 kes,” katanya.
Beliau berkata, JPJ Johor akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.
Katanya, semua pihak juga diminta mematuhi peraturan jalan raya dan bertoleransi dengan pengguna lain demi keselamatan diri serta keluarga.-SAHIH
#kw: JPJ Johor, warga asing, pemandu, operasi khas
