ANGKASA pacu agenda koperasi ASEAN dari Dili
ANGKASA pacu agenda koperasi ASEAN dari Dili
DILI: Malaysia menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda koperasi ASEAN apabila delegasinya diberi sambutan bertaraf tetamu negara di Timor Leste.
Penghormatan itu diberikan sempena The Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD2026) yang berlangsung di Dili, pada Khamis.
Delegasi Malaysia disantuni Secretary of State for Cooperatives Timor Leste (SECoop), H.E. Arsenio Pereira da Silva pada Majlis Makan Malam Pembukaan DRCCMD2026 di Hotel La Lagendario.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk mengangkat agenda koperasi ke tahap lebih tinggi di rantau ASEAN.
Menurutnya, ANGKASA dan ACO turut membantu Kerajaan Timor Leste dalam penyediaan konsep serta kandungan program, dokumen penting dan aspek teknikal penganjuran.
“Penganjuran program ini adalah satu inisiatif bersama untuk memulakan momentum proses advokasi bagi membawa agenda koperasi ke peringkat ASEAN sehingga tiba giliran Timor Leste pada 2029,” katanya.
Beliau berkata, usaha membawa agenda koperasi sebagai antara perkara utama dalam mesyuarat ASEAN telah dimulakan sejak Julai 2024.
Katanya, ANGKASA berharap usaha advokasi itu dapat diperkukuh ketika Singapura memegang Kepengerusian ASEAN pada 2027, Vietnam pada 2028 sebelum Timor Leste pada 2029.
DRCCMD2026 juga menjadi program pertama peringkat ASEAN berkaitan koperasi yang dianjurkan di Timor Leste dengan menggunakan format ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025).
Program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti koperasi Timor Leste mengenai peranan sektor berkenaan dalam pembangunan ekonomi lebih 2,500 komuniti kecil di lebih 400 kampung meliputi 13 wilayah.
Gerakan koperasi Timor Leste turut mencatat perkembangan apabila jumlah koperasi meningkat daripada 198 pada 2023 kepada lebih 351 ketika ini dengan keanggotaan melebihi 100,000 orang.
Abdul Fattah berkata, perkembangan itu menunjukkan potensi besar koperasi sebagai instrumen pembangunan ekonomi dan sosial serta pemerkasaan komuniti akar umbi.
Hadir sama Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ACO, Datuk Kamarudin Ismail dan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Delegasi Malaysia turut disertai Naib Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Effendi OP Andu dan Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (KOOP SAHABAT), Haji Mazri Mahmood.-SAHIH
#kw: ANGKASA, koperasi ASEAN, Timor Leste, DRCCMD2026
